KEPALA BATAS: Pemergian
Allahyarham Yakob Ramli yang meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di Surau Permatang Pak Elong, di sini, pagi semalam disifatkan satu kehilangan besar kepada kariah kampung itu yang menjadikannya sebagai tempat rujukan terutama dalam penganjuran program keagamaan dan guru al-Quran.
Yakob, 56 yang menjadi imam di surau kampung berkenaan sejak 15 tahun lalu amat teliti mendalami al-Quran dan pernah menjadi johan tilawah.
Seorang penduduk, M Bakri Osman, 61, berkata bacaan ayat suci Allahyarham ketika mengimamkan solat begitu bagus dan merdu memandangkan dia seorang qari.
"Pada masa sama, Allahyarham juga aktif dalam program marhaban. Sepanjang hayat Allahyarham dia memang pentingkan soal agama.
"Ibu bapanya dulu guru mengaji al-Quran kemudian dia juga turut mengajar mengaji yang boleh dikatakan dia pakar rujukan penduduk kampung di sini tidak kira dari segi pengajian al-Quran mahupun program keagamaan yang ingin dianjurkan di kampung ini.
"Kehilangan dia memang mengejutkan tetapi kami reda kerana dia pergi dalam keadaan baik dan kematiannya dicemburui oleh semua," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menceritakan saat kematian Allahyarham, M Bakri berkata, Allahyarham tiba-tiba tidak bergerak ketika melakukan sujud sajadah yang dilaksanakan setiap Jumaat.
"Selepas itu saya terdengar bunyi nafas kencang daripada mikrofon yang dipakai arwah dan semakin lama bunyinya semakin kuat.
"Kemudian saya pergi menghampiri arwah dan pegang dadanya lalu membaringkan serta meminta arwah mengucap.
"Sementara menunggu 'misi' (pasukan perubatan tiba) kami memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada arwah tetapi nadinya ketika itu sudah berhenti," katanya.
Jelasnya, pasukan perubatan yang tiba kemudian turut melakukan CPR terhadap arwah dengan bantuan alat peranti perubatan mudah alih (AED).
"Namun dia tidak dapat diselamatkan. Arwah orang baik tiap-tiap kali jumpa saya dia minta doakan dia dan dia akan peluk semua makmum setiap kali selesai mengimamkan solat di surau ini," katanya.
Sementara anak lelaki Allahyarham, Mohamad Shahril Yakob, 33, berkata arwah bapanya memang mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung dan kencing manis yang memerlukan rawatan susulan di hospital.
"Bagaimanapun keadaannya sentiasa sihat dan pagi semalam sudah ditakdirkan ajalnya tiba yang kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini apatah lagi kematian abah didoakan oleh semua orang, malah ketika pengebumiannya ramai sangat datang termasuk ada orang hantar satu bas rombongan anak-anak tahfiz mendoakan abah.
"Sebelum abah pergi, dia pesan dengan saya untuk pastikan surau ini sentiasa ramai orang, jangan sesekali tinggal solat dan jadi bilal yang permintaannya telah saya turuti," katanya.