Patah tangan kiri semasa latihan industri tidak luntur semangat Mohammad Syafizul untuk berjaya
Oleh Aizat Sharif - November 9, 2024 @ 1:00pm [email protected]
Mohamad Syafizul menjadi antara 13 graduan yang menerima anugerah dan pingat semasa semasa Istiadat Konvokesyen ke-19 di Dewan Ilmu, UniMAP Kampus Pauh Putra, Arau. - Foto NSTP/AIZAT SHARIF
ARAU: Walaupun pernah mengalami patah pergelangan tangan kiri ketika terbabit dengan kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja sewaktu menjalani latihan industri dua tahun lalu tidak pernah mematahkan semangat seorang penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk terus berusaha sehingga berjaya.
Malah, kemalangan itu dijadikan pembakar semangat kepada Mohammad Syafizul Zolkurnin, 25, untuk terus mendapatkan keputusan cemerlang dalam pengajian di universiti memandangkan dia sering dijadikan panduan oleh adik beradiknya yang lain untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan masing-masing.
Disebabkan itu jugalah, penuntut bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal serta anak sulung kepada pasangan Zolkurnin Hasan, 56 dan Siti Aishah Pakharudin, 45 ini tidak menoleh ke belakang dan berkat kesungguhan dalam akademik membawa kejayaan kepada dirinya sehingga dianugerahkan Pingat Emas Canselor UniMAP dalam Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-19 di Dewan Ilmu, UniMAP Kampus Pauh Putra, di sini hari ini.
Malah kejayaan anak kelahiran Sungai Petani itu bertambah manis apabila mengulangi kejayaannya dianugerahkan Pingat Emas Naib Canselor semasa menuntut ketika diploma dahulu.
Menurut Mohammad Syafizul, kejayaannya itu bukanlah datang dengan mudah dan jika direnung kembali perjalanannya itu, adakalanya dia sudah hampir berputus asa terutama ketika dia mengalami kemalangan jalan raya di Sungai Petani semasa latihan industri dahulu.
"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi serta sokongan pensyarah dan ibu bapa saya di atas kejayaan ini namun jika dilihat semula, saya seperti tidak percaya bahawa saya mampu mengatasi segala rintangan yang ada untuk mendapatkan kejayaan seperti ini.
"Malah, semasa latihan industri dua tahun lalu ketika diploma, saya pernah mengalami kemalangan sehingga pergelangan tangan kiri saya patah di mana semasa kejadian saya sedang menaiki motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Sungai Petani.
"Saya dilanggar oleh sebuah kereta yang menyebabkan saya terlantar selama dua minggu di hospital dan rumah saya serta bahagian tercedera itu juga dimasukkan plat besi didalamnya.
"Semasa itulah saya bagaikan sudah berputus asa sahaja serta mahu berhenti belajar, namun memikirkan perjalanan saya masih jauh dan banyak lagi yang harus dipelajari maka saya kuatkan semangat untuk terus dan habiskan pengajian," katanya ketika ditemui selepas istiadat berkenaan.
Katanya, tekad dan azamnya adalah mahu mengubah kehidupan keluarganya kerana bapanya hanyalah pemandu jentera angkat susun atau 'forklift' di sebuah kilang manakala ibunya pula bertugas sebagai kerani di sebuah badan bukan kerajaan.
"Saya juga mempunyai dua orang adik berusia 15 dan 22 tahun dan bukanlah mudah menjadi anak sulung kerana kita perlu menunjukkan tauladan yang baik kepada keluarga dan ini adalah antara sumbangan kejayaan saya kepada keluarga.
"Semasa menuntut di peringkat sarjana muda pula, dengan kemudahan yang ada di UniMAP ini tidak ada masalah untuk saya mendapatkan keputusan cemerlang dan paling manis apabila saya kini diterima bekerja di tempat saya membuat latihan industri semasa peringkat sarjana muda, di sebuah kilang semikonduktor di Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai jurutera," katanya.
Mohammad Syafizul berkata, cita-citanya untuk menjadi jurutera sudah tercapai namun perancangan masa hadapannya kini adalah untuk menjadi pengurus jurutera selain menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Terdahulu, Mohammad Syafizul bersama 12 lagi penerima anugerah dan pingat dalam istiadat konvokesyen itu diraikan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zaliman Sauli dalam satu majlis ringkas dimana mereka adalah antara antara 3,298 graduan yang terbabit dalam penganugerahan kali ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1321625/patah-tangan-kiri-semasa-latihan-industri-tidak-luntur-semangat
|