Georgetown: "Saya mahu jadi seorang 'bintang'," kata peserta program Calpis Soda One in A Million (OIAM), Sarifah Noor Hasmah Syed Hassim,24, ketika ditanya juri mengenai tujuannya menyertai uji bakat.
Kata-kata guru taska itu mendapat sorakan pengunjung yang hadir dan memberi semangat kepada peserta lain ketika menanti giliran diujibakat.
Sarifah Noor Hasmah yang berasal dari Sabah itu juga peserta program Mentor menerusi nama 'Sharee Lopes' pada tahun 2019 dan tersingkir di pusingan separuh akhir.
"Saya kemudian menyertai program Lagu Cinta Kita yang hanya bertahan pada minggu ketiga sebelum memberi tumpuan kepada pelajaran di peringkat ijazah.
"Kegagalan lalu saya anggap sebagai platform bagi mempersiapkan diri dan bangkit semula mencuba nasib dalam Calpis Soda OIAM malah sudah bersedia bergelar 'bintang'," katanya yang juga penyanyi sambilan.
Sarifah Noor Hasmah adalah antara peserta melepasi tahap dua uji bakat bersama seorang lagi peserta dari Seberang Jaya, Sri Diana Amir Bashah, 43, yang menarik perhatian juri berikutan serba boleh dalam menyanyikan lagu pelbagai genre.
Penyanyi sambilan itu turut pengalaman menyertai Bintang RTM pada 2014 dan program Rockanova (siaran Astro) pada 2017, namun hanya berjaya meraih tempat keempat.
"Nyanyian adalah minat saya dan mengakui tidak pernah ke kelas vokal sebaliknya berusaha belajar sendiri pengurusan suara.
"Impian saya jika memenangi Calpis Soda OIAM musim ini adalah bagi membeli sebuah rumah teres bagi memudahkan pergerakan ibu (Zaiton Jusoh, 67) yang mengalami sakit lutut sejak 2018 dan hanya boleh bergerak secara mengengsot," katanya.
Sri Diana turut terharu apabila juri meminta bapanya, Amir Bashah Abdul Majid, 68, menyerah kad lulus uji bakat peringkat kedua, di pentas.
Uji bakat Calpis Soda OIAM selama dua hari berakhir pada hari ini menyaksikan peserta daripada pelbagai negeri dan latar belakang dengan hanya satu tujuan iaitu terpilih, seterusnya memenangi hadiah wang RM500,000.
Turut menunjukkan bakat ialah peserta berstatus orang kupaya upaya (OKU), Muhd Zulfikhri Izham, 32, dari Kampung Melayu, di sini.
Pegawai operasi di syarikat kawalan keselamatan itu berkata, walaupun pertama kali menyertai pertandingan nyanyian, tetapi dia sudah lakukan persiapan vokal.
"Mata kanan saya buta selepas terbabit kemalangan pada 2009 serta tidak boleh dirawat lagi, sejak itu saya terpaksa memakai mata palsu dengan kos RM6,000 seunit.
"Jika saya menang, saya mahu salurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada persatuan pengurusan OKU bagi membeli peralatan yang diperlukan.
"Hati tersentuh apabila membaca perkongsian tular mengenai lelaki OKU kehilangan kaki yang terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan bermotosikal demi mencari sesuap nasi dan niat saya mahu membantu insan senasib," katanya.
Turut sama menyertai pertandingan itu ialah remaja berusia 15 tahun, Adam Eiman Mohd Rizal yang menjadi peserta paling muda di Pulau Pinang dan pelawak kumpulan LNJ, Afzan Saffuan Ahmad, 37.
"Saya pernah menyertai pertandingan All Together Now Malaysia pada 2021 namun tersingkir pada minggu ke lapan, kini bersedia menjadi penghibur serba boleh selepas bergelar pelawak serta pelakon," kata Afzan Saffuan, anggota yang bertugas di Balai Polis Lebuh Pantai.
Sementara itu, juri tetap Shaffiq Erwin berkata, ramai peserta di Pulau Pinang yang boleh menyanyi namun tidak bersedia apabila diminta menyanyikan lagu pelbagai genre.
Shaffiq berkata, dia lebih mementingkan kualiti suara diikuti penampilan serta persediaan dalam pemilihan lagu.
"Kebanyakan peserta yang bagus dalam genre rock dan balada sahaja tetapi kita nak (mahu) meluas cuma jangan datang jika tak bersedia dan tiada keyakinan diri," katanya.