TAHAN: Kapal tangki yang membawa muatan diesel ditahan Maritim Malaysia di perairan Labuan.
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki dengan muatan diesel hampir 70,000 liter di kedudukan 2.7 batu nautika dari Utara Pulau Kuraman Jumaat lalu.
Kapal yang berasal dari Miri, Sarawak ditahan bot peronda Maritim Malaysia Labuan ketika melaksanakan rondaan di sekitar perairan berkenaan, jam 2.35 pagi.
Pengarah Zon APMM Labuan, Kepten Izwanhadi Idros berkata, bot peronda yang sedang menjalankan rondaan menahan sebuah kapal tangki yang terapung dalam keadaan gelap dan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan, kapal tangki itu didapati membawa kira-kira 70,000 liter minyak diesel dipercayai dipindahkan melalui operasi dari kapal ke kapal (Ship to Ship).
"Anggaran keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM1 juta," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kapal itu disyaki melanggar kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Semua rampasan dan tujuh anak kapal berusia 21 sehingga 51 tahun yang berasal dari Indonesia dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
"Orang ramai boleh menyalurkan informasi aktiviti jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera," katanya.
|