SIDANG MEDIA: Jauteh semasa memberikan sidang media berkenaan prestasi Kontinjen Sabah.
KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah terus melakar kecemerlangan dalam penugasan selepas berjaya berada di tempat tertinggi melaksanakan pertuduhan membabitkan tangkapan kes jenayah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, sejumlah 58 peratus pertuduhan yang berjaya direkodkan sehingga 31 Oktober meletakkan Sabah adalah yang tertinggi dalam keseluruhan negeri di Malaysia.
“Sabah juga berjaya menyelesaikan kes jenayah iaitu 80.42 peratus daripada keseluruhan 3652 kes tahun ini berbanding hanya 78.41 peratus daripada 3432 kes tahun lalu meletakkan Sabah berada pada kedudukan ketiga tertinggi bagi keseluruhan penyelesaikan kes dalam negara.
“Pada masa sama, Sabah juga mencatat peningkatan kadar jenayah sebanyak 6.41 peratus bersamaan 220 kes seiring tindakan Kontinjen Sabah yang membuka kertas siasatan terhadap semua kes berunsurkan jenayah yang diterima sepertimana yang dilaksanakan dari peringkat awal.
“Tindakan ini dilaksanakan untuk memastikan kesejateraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga, bagi mereka, walaupun jenayah kecil berbanding jenayah besar tahap ketakutan masyarakat adalah sama,” katanya semasa sidang media di IPK Sabah.
Dalam pada itu, Jauteh juga menyatakan bahawa pihak polis meningkatkan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut di jalan raya.
“Disamping membuat pemantauan kita juga membuat kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya kerana kebanyakkan kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri, jadi kempen kita adalah memberikan kesedaran agar pengguna lebih peka dan mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya,” katanya.
|