|
Pelakon seksi, Nadia Brian bersyukur 2024 mengajarnya menjadi wanita lebih berdikari.
Pernah menyaksikan ibunya menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Nadia mengakui, episod hitam itu banyak menjadikannya wanita lebih tabah, justeru menyokong wanita lain untuk berdikari dan berani berdiri atas kaki sendiri.
Nadia atau nama sebenarnya. Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 33, berkata dia bersyukur mempunyai wanita hebat seperti ibunya yang banyak memberi pelajaran berguna kepadanya.
"Alhamdulillah, saya ada 'role model' iaitu ibu saya. Dia bergelar ibu tunggal selama lebih 23 tahun dan pernah melalui keganasan rumah tangga.
"Bagi saya, sikap berdikari harus ada dalam diri setiap wanita. Kita kena ada kekuatan sendiri sebab tak boleh bergantung kepada sesiapa.
"Itu diterapkan oleh ibu dan saya gunakan ilmunya. Hidup lebih seronok jika tidak bergantung pada sesiapa. Tak perlu pening-pening, saya kerja cari duit untuk diri sendiri.
"Jadi, saya bersyukur dengan apa yang saya ada dan diberikan kebahagiaan bersama keluarga. Saya ada ibu, nenek, adik-beradik dan kesihatan yang baik. Malah, saya juga bersyukur tawaran kerja juga tidak pernah putus," katanya.
Selepas menjayakan teater Kerana Percayakan Siti, Nadia bersyukur diberikan tawaran menjayakan pementasan Teater Samaya - Puteri Laut Selatan sebagai penutup 2024.
"Saya tetap akan buat teater sebab ia menggilap lakonan dan pada masa sama, boleh kumpul ilmu," katanya yang juga baru selesai menjayakan penggambaran filem Duyung.
Terdahulu, Nadia sudah empat tahun hidup sendiri selepas bercerai dengan bekas suami, Muizz Nasruddin pada April 2020
Perkahwinan Nadia dan Muizz yang juga ahli perniagaan hanya bertahan selama empat bulan.
Sumber – BH |
|