Langkawi: Demi kelangsungan hidup, Mohd Ramli Mat Zin mengetepikan derita ditanggung akibat masalah saraf untuk mencari rezeki dengan menjual makanan dari rumah.
Uniknya, makanan siap dimasak dan dibungkus akan diletakkan di dalam bakul pakaian sebelum diturunkan dari tingkap rumah menggunakan tali lalu diambil pelanggan.
Kisah Mohd Ramli, 46, itu mendapat perhatian warganet selepas berkongsi video pelanggan mengambil pesanan dan kisah yang berlaku terhadapnya.
Bercerita lanjut, Mohd Ramli atau dikenali sebagai Abang Tingkap dalam kalangan pengikut berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran, dekat sini.
Menurutnya, dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak Jun lalu akibat masalah kesihatan pada bahagian saraf menyebabkan luka pada betisnya lambat sembuh.
Katanya, disebabkan itu, pergerakannya terbatas hingga tidak dapat berjalan dan berdiri lama.
"Namun desakan hidup memaksa berikhtiar mencari wang kerana komitmen bulanan sebelum dapat idea untuk memasak dan berniaga dari rumah selepas kehabisan duit simpanan.
"Kalau nak mohon kerja lain agak susah dalam keadaan sekarang kerana tak boleh bergerak, jadi saya guna kemahiran memasak untuk pendapatan serta memulakannya pada pertengahan Ogos lalu.
"Saya masak sendiri manakala isteri bantu dalam penyediaan bahan dan pengagihan bungkusan makanan kepada pelanggan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mohd Ramli berkata, buat masa ini, dia menjual nasi goreng, mi goreng dan kuey teow goreng dengan mengambil pesanan bermula 1 tengah hari hingga 9 malam.
Menurutnya, dia bersyukur dengan sambutan baik yang diterima daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama terutama selepas memuat naik video di TikTok.
"Niat saya berkongsi video di platform itu (TikTok) adalah mencari pelanggan dan tak sangka penerimaan sangat baik hingga ada pelanggan dari Sabah juga Sarawak beli bagi tujuan infaq.
"Di TikTok, mereka (warganet) panggil saya Abang Tingkap kerana saya letak nama itu. Lagipun, saya berurusan dengan pelanggan pun melalui tingkap.
"Mulanya orang ketawa dengar nama itu, tapi saya dan isteri nekad cuba serta teruskan. Alhamdulillah, percubaan kami berhasil," katanya.
Menurutnya, selagi ada permintaan, dia akan meneruskan usaha ini kerana ia adalah peluang mencari rezeki ketika ini.
Selain menyara keluarga, Mohd Ramli mengakui perlu mencari wang bagi membeli ubat selain menyediakan tambang untuk ke klinik.
"Pada awalnya, saya sukar terima keadaan diri kerana tak pernah sakit teruk sehingga rasa 'down' mengenangkan ada tanggungan.
"Sokongan isteri memberi saya kekuatan untuk terus berniaga kerana ia adalah 'jalan' serta harapan cari rezeki.
"Alhamdulillah, ramai yang mendoakan di TikTok dan saya berharap diizinkan Allah SWT untuk sembuh serta kembali sihat seperti sediakala," katanya.