Alor Setar banjir selepas 2 jam hujan lebat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 4, 2025 @ 9:52pm [email protected]
Laluan di Lebuhraya Sultanah Bahiyah berhampiran Taman Wira Mergong, dinaiki air berikutan hujan lebat lebih dua jam. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
ALOR SETAR: Hujan lebat lebih dua jam petang tadi menyebabkan Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini, dinaiki air.
Tinjauan mendapati laluan di kawasan itu dipenuhi air yang melimpah di atas jalan menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan berikutan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan.
Selain itu, laluan masuk ke Taman Uda, Jalan Sultanah dan beberapa stesen minyak turut dinaiki air akibat hujan lebat.
Peniaga kedai makan, Aishah Ismail, ,45, berkata air naik dan melintasi jalan di hadapan kedai makannya di Taman Wira, Mergong.
Katanya, kawasan itu kerap dinaiki air sekiranya hujan lebat, namun surut semula tidak lama kemudian.
"Sekarang pun masih hujan, tetapi air biasanya surut perlahan-lahan selepas hujan reda," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Penduduk Taman Wira, Ishak Ahmad, 55, berkata hujan lebat sejak 7 petang tadi menyebabkan longkang dipenuhi air yang kemudian melimpah ke atas jalan.
Katanya, keadaan itu tidak membimbangkan kerana biasanya air akan surut tidak lama kemudian.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1345005/alor-setar-banjir-selepas-2-jam-hujan-lebat
|