PFA failkan perintah injuksi halang Kongres FAM
Oleh Aizat Sharif - Januari 4, 2025 @ 5:43pm [email protected]
PFA memfailkan permohonan perintah injuksi bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM bulan depan.
KANGAR: Kemelut isu pertikaian keputusan penggantungan keahlian Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan lalu dilihat semakin memanas selepas PFA memfailkan permohonan perintah injuksi bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM bulan depan.
Permohonan perintah injuksi berkenaan adalah satu lagi tindakan drastik PFA yang sebelum itu pada 27 Disember lalu memfailkan saman bagi mencabar keputusan penggantungan keahlian persatuan itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Disember lalu.
Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkata, permohonan perintah injuksi berkenaan difailkan pada 31 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Kangar dan dijangka didengar pada Isnin hadapan.
"Kita failkan permohonan perintah injuksi ini pada Selasa lalu bersamaan 31 Disember di mana dalam notis permohonan kita adalah untuk menghalang 20 defendan termasuk Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan barisan exco FAM pada penggal ini daripada menjalankan proses pencalonan atau menerima apa jua pencalonan bagi Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 dari ahli gabungan atau sesiapa sahaja sehingga kes ini diputuskan secara muktamad.
"Dalam hal ini, ia membawa maksud kita (PFA) mahu halang mereka (FAM) dahulu sehingga kes ini selesai di mana selagi kes ini tidak selesai bererti mereka tidak boleh membuat sebarang proses pemilihan dalam kongres berkenaan," kataya.
Katanya, langkah yang dilakukan itu adalah semata-mata mahu defendan yang dinamakan dalam writ saman PFA itu memberi penumpuan kepada kes yang bakal dilaksanakan di mahkamah sebelum sebarang pemilihan dijalankan oleh FAM.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/01/1344931/pfa-failkan-perintah-injuksi-halang-kongres-fam
|