CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 19496|Reply: 0

[Johor] Hina Agong, peniaga gerai didenda RM3,000

[Copy link]
Post time 8-1-2025 10:43 PM | Show all posts |Read mode

Zaidi Mat Sah didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, FOTO FARID NOH

Johor Bahru: Peniaga gerai makanan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana menerbitkan penerbitan menghasut di aplikasi X yang menghina Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.

Hakim Hazeelia Muhammad menjatuhkan hukuman denda itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Zaidi Mat Sah, 56.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut apabila membuat satu hantaran di aplikasi X.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sutera, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi pada 29 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu melihat hantaran berkenaan di aplikasi X pada 29 Disember lalu, yang membabitkan kenyataan berbaur hasutan itu oleh tertuduh dan merasakan ia berbaur hasutan dan menyentuh kesalahan 3R iaitu dengan melakukan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong sekali gus mencemarkan imej dan nama institusi diraja.

Pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam pada keesokan harinya. Hasil semakan terhadap telefon bimbit itu mendapati akaun itu digunakan tertuduh manakala analisis risikan media sosial Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati akaun X itu adalah milik tertuduh.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang membaca kenyataan pembelaannya merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai penjaja makanan tepi jalan selain terpaksa menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur selain anaknya yang disahkan menghidap autisme.

"Saya mengaku salah dan terkhilaf selain tidak sedar kesalahan dilakukan ini menyentuh 3R.

"Hantaran itu bukanlah ayat karangan sendiri kerana saya hanya 'repost' selepas 'copy paste' ayat berkenaan. Saya tidak sedar kesan tindakan itu.

"Saya mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan ini. Saya merayu hukuman ringan dan tidak mampu dipenjarakan kerana hanyalah penjaja makanan di tepi jalan yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan keluarga termasuk perlu menanggung ibu yang uzur dan anak autisme," katanya.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius.

"Kesalahan ini membabitkan kata-kata hinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang juga Sultan Johor, oleh itu hukuman setimpal adalah perlu supaya jadi pengajaran kepada pengguna media sosial yang lain supaya lebih berhati-hati dan berhemah menggunakan platform berkenaan," katanya ketika berhujah.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.


Disiarkan pada: Januari 8, 2025



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2025 03:18 AM GMT+8 , Processed in 0.048321 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list