Lelaki warga emas melecur 20 peratus akibat kebakaran rumah
Januari 11, 2025 @ 4:31pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/terbakari_1736584284.jpg)
Anggota BBP Jalan Raja dengan bantuan PBS membantu memadam kebakaran di sebuah rumah berdekatan Longwan, Lebuhraya Sultan Abdul Halim. - Foto NSTP/Ihsan BOMBA
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun terselamat dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah berdekatan Longwan, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini yang musnah, hari ini.
Mangsa dilaporkan melecur 20 peratus di muka, tangan dan badan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.19 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Khairul Anwar Shaari tiba di lokasi bersama lapan anggota.
"Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Alor Setar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan sebuah rumah dua tingkat kelas B yang menyebabkan kemusnahan 90 peratus.
"Tindakan operasi adalah dengan memadam kebakaran sehingga selesai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Azizul Hakim berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1347925/lelaki-warga-emas-melecur-20-peratus-akibat-kebakaran-rumah
|