TAYSEER Obaid duduk di dalam lubang di dalam khemah mereka di Deir Al-Balah, tengah Gaza. FOTO Reuters
Baitulmaqdis: Dengan perang yang masih belum berkesudahan, penduduk Gaza kini turut menderita kerana cuaca musim sejuk.
Seorang bapa, Tayseer Obaid terpaksa menggali tanah untuk memberi keselesaan kepada keluarganya yang berlindung di kawasan perkhemahan di Deir el-Balah, tengah Gaza.
Tayseer menggali lubang sedalam hampir dua meter persegi dan menutupnya dengan kain yang diregangkan di atas rangka kayu yang diubah suai untuk mengelakkan air hujan.
"Saya mempunyai idea untuk menggali ke dalam tanah untuk membesarkan ruang kerana ia sangat terhad.
"Jadi saya menggali (lubang ) 90 sentimeter (sm), tidak mengapa dan saya rasa ruang itu bertambah besar sedikit.
"Lama-kelamaan, saya berjaya menggali sedalam 180 sm kemudian melapik di bahagian bawahnya dengan tilam," katanya.
Katanya, dia menggunakan guni tepung lama yang diisi pasir untuk menutup pintu masuk ke khemah itu untuk mengelakkannya daripada berlumpur, di samping mengukir tangga ke tepi lubang.
"Tanah liat cukup lembut untuk digali tanpa alat kuasa dan cukup kuat untuk berdiri sendiri.
"Lubang itu memberikan sedikit perlindungan daripada serangan udara Israel, tetapi saya bimbang tanah liat itu boleh runtuh sekiranya serangan mendarat cukup dekat.
"Jika letupan berlaku di sekeliling kami dan tanah runtuh, tempat perlindungan ini akan menjadi kubur kami," katanya.
Hampir semua 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat perang di wilayah Palestin itu, sejak lebih 14 bulan.
Pusat satelit Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNOSAT) pada September 2024 menyatakan, 66 peratus bangunan Gaza rosak atau musnah sepenuhnya akibat perang apabila Israel menggunakan serangan udara secara meluas ketika memerangi kumpulan Hamas.
Disiarkan pada: Januari 12, 2025
|