Gambar hiasan. - Foto NSTP
ADEN: Satu letupan di sebuah stesen minyak di Al-Bayda, wilayah tengah Yaman semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa dan mencederakan lebih 65 orang.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, memetik seorang pegawai kerajaan tempatan yang enggan dikenali, letupan itu berlaku di stesen minyak dekat daerah Zaher.
Ia dilaporkan menyebabkan dua stesen minyak yang terletak bersebelahan dan gudang komersial turut terbakar.
Ketika letupan berlaku, kata pegawai itu, stesen minyak berkenaan dikunjungi ramai pelanggan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan yang pihak penyiasat masih belum menentukan punca sebenar letupan itu.
Berdasarkan rakaman video yang tersebar di platform media sosial, berlaku letupan besar disusuli adegan kekacauan apabila orang awam yang cedera, bertindak menyelamatkan diri dari stesen minyak berkenaan.
Memetik laporan agensi berita Sputnik dan RIA Novosti pula, letupan itu menyebabkan seramai 15 orang mengalami kecederaan serius, selain lebih 20 kereta musnah. - AGENSI
|