Keadaan bersalji di Warsaw, Poland, semalam. - FOTO AFP
WARSAW: Kira-kira 32,000 isi rumah di seluruh Poland, terutama di wilayah utara, terputus bekalan elektrik akibat ribut salji, lapor Radio Poland, semalam, menurut Xinhua.
Secara keseluruhan, pasukan bomba telah bertindak atas hampir 1,000 insiden berkaitan cuaca sejak Khamis lalu, termasuk dahan patah, pokok tumbang dan talian elektrik terjejas.
Seorang pegawai Pusat Keselamatan Kerajaan memaklumkan, pasukan kecemasan giat berusaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus.
Salji lebat diramalkan berterusan melanda kawasan timur, selatan dan tengah Poland dengan kawasan pergunungan dijangka menerima taburan salji paling tinggi.
Gunung Tatra kekal bawah amaran runtuhan salji tahap dua hingga jam 8 malam waktu tempatan, semalam.
Taman Negara Tatra menasihati pelancong supaya lebih berhati-hati, sekali gus memberi amaran mengenai keadaan berbahaya di kawasan altitud tinggi, termasuk timbunan salji tebal dan pembentukan 'cornice' salji akibat angin kencang.
Walaupun keadaan mencabar, Ketua Direktorat Jalan Raya dan Lebuh Raya Kebangsaan Poland memberi jaminan semua jalan raya di seluruh Poland tetap boleh dilalui, setakat ini.
Lebih 2,300 kenderaan membersihkan salji dan penyelenggaraan dikerah sepanjang malam bagi memastikan perjalanan selamat.
|