Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AFP
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberitahu, beliau bersedia menyerahkan tentera Korea Utara yang ditangkap kepada Pyongyang sebagai pertukaran untuk mengembalikan tawanan perang Ukraine yang ditahan di Russia.
Tawaran Zelensky hadir beberapa jam selepas Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan mengesahkan pengumuman Ukraine bahawa dua askar Korea Utara ditangkap.
Sabtu lalu, Kyiv berkata, askar yang ditangkap cedera ketika bertempur dengan tentera Ukraine di wilayah Kursk Russia, namun ketika masa itu tidak memberikan sebarang bukti kewarganegaraan mereka.
Dalam catatan di X, Zelensky berkata, Ukraine bersedia menyerahkan tentera Kim Jong Un, jika beliau boleh mengatur pertukaran untuk tentera mereka yang ditahan di Russia.
"Tidak syak lagi akan ada lebih banyak" tentera Korea Utara yang ditangkap oleh Kyiv. Bagi askar Korea Utara yang tidak mahu pulang, mungkin ada pilihan lain.
"Mereka yang menyatakan hasrat untuk mendekatkan keamanan dengan menyebarkan kebenaran mengenai perang ini dalam bahasa Korea akan diberi peluang," katanya.
Ukraine, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menuduh Korea Utara menghantar lebih 10,000 askar untuk membantu menguatkan tentera Russia.
Namun Moscow mahupun Pyongyang tidak mengakui bahawa Korea Utara dikerahkan untuk memerangi Ukraine.
Kedua-dua negara itu meningkatkan kerjasama ketenteraan mereka sejak Russia melancarkan pencerobohan 2022 ke atas Ukraine.
"Tidak perlu ada keraguan di dunia bahawa tentera Russia bergantung kepada bantuan ketenteraan dari Korea Utara," kata Zelensky.
Sebelum ini, Presiden Ukraine itu menyiarkan video soal siasat ke atas dua tawanan perang Korea Utara.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki bercakap dengan seorang pegawai Ukraine menggunakan jurubahasa bahawa dia tidak mengetahui akan berperang dengan Ukraine dan bahawa komandernya "memberitahunya ia hanya latihan".
Dalam ulasan yang diterjemahkan, salah seorang lelaki itu berkata, dia mahu kembali ke Korea Utara.
Seorang lagi berkata dia akan melakukan apa yang diarahkan tetapi, jika diberi peluang, mahu tinggal di Ukraine.
Salah seorang askar yang ditangkap telah mendedahkan bahawa dia menerima latihan ketenteraan daripada tentera Russia selepas tiba di sana pada November lalu.
Dia pada mulanya percaya dia dihantar untuk latihan, namun menyedari apabila tiba di Russia bahawa dia telah ditempatkan.
Bulan lalu, Zelensky berkata bulan lalu bahawa hampir 3,000 askar Korea Utara "terbunuh atau cedera" berjuang untuk Russia.
Seoul bagaimanapun meletakkan angka itu pada 1,000 orang.
Sementara itu, Russia semalam, mendakwa menawan dua perkampungan di timur Ukraine di mana tenteranya mara selama berbulan-bulan.
Kementerian Pertahanan berkata, pihak tentera menawan perkampungan Yantarne di wilayah timur Donetsk, kira-kira 10 kilometer barat daya Kurakhove, hab logistik utama yang didakwa Moscow dirampas minggu lalu.
Tentera Russia turut menawan perkampungan Kaliinove di wilayah timur laut Kharkiv. - AFP
|