Suhu turun hingga 7 darjah Celsius atau lebih rendah di beberapa kawasan. - Foto AFP
HONG KONG: Hong Kong mencatatkan suhu paling sejuk sehingga 11 darjah Celsius setakat pagi tadi.
Menurut Jabatan Kaji Cuaca Hong Kong, suhu turun hingga 7 darjah Celsius atau lebih rendah di beberapa kawasan.
"Suhu minimum yang dicatatkan di Jabatan Kaji Cuaca ialah 11 darjah Celsius, sekali gus adalah suhu terendah setakat musim sejuk ini.
"Pagi akan terasa sejuk, dengan suhu yang sangat rendah di kawasan pedalaman, di mana perbezaan suhu antara siang dan malam dijangka agak besar," tambahnya.
Pusat Perlindungan Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan mengingatkan orang ramai, terutamanya golongan warga emas dan individu dengan penyakit kronik, untuk mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kesihatan mereka ketika cuaca sejuk.
"Golongan warga emas mempunyai lemak penebat yang kurang di bawah kulit untuk mengekalkan kehangatan, dan mekanisme kawalan suhu badan mungkin lebih lemah.
"Tubuh mereka mungkin tidak dapat bertindak balas dengan baik terhadap cuaca sejuk," katanya.
Dengan Amaran Cuaca Sejuk yang sedang berkuat kuasa, Jabatan Buruh turut mengingatkan majikan supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengingatkan pekerja yang perlu bekerja di luar atau di kawasan terpencil untuk memakai pakaian yang sesuai dan hangat.
Jabatan Kaji Cuaca meramalkan cuaca mendung dengan kenaikan suhu dalam tempoh beberapa hari akan datang. - AGENSI
|