BUDAK lelaki bersandar pada dinding yang penuh grafiti dekat kem pelarian Nuseirat di tengah wilayah Gaza. FOTO AFP.
Doha: Pihak terbabit rundingan konflik di Gaza akan bertemu di Doha hari ini bagi memuktamadkan butiran rancangan menamatkan perang itu.
Ia selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang diperjuangkannya semakin tercapai.
Seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu berkata, pengantara sudah memberi Israel dan Hamas draf akhir perjanjian, semalam selepas mencapai 'kejayaan' dalam perbincangan berakhir tengah malam yang dihadiri utusan Biden dan presiden terpilih Donald Trump.
Jika berjaya, perjanjian gencatan senjata akan mengakhiri lebih setahun rundingan serta membawa kepada pembebasan terbesar tebusan Israel sejak awal konflik, apabila Hamas dijangka membebaskan kira-kira separuh daripada tawanannya sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin yang ditahan Israel.
Pegawai itu berkata, kertas rundingan untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan telah dibentangkan oleh Qatar kepada kedua-dua pihak pada rundingan di Doha, yang termasuk ketua agensi pengintip Mossad dan Shin Bet Israel serta perdana menteri Qatar.
Wakil Trump bagi Timur Tengah, Steve Witkoff dan utusan Biden, Brett McGurk dijangka sekali lagi menghadiri rundingan di Doha hari ini, dengan perunding Hamas yang berada berdekatan akan terbabit dalam usaha menyegerakan pencapaian perjanjian.
Pegawai di kedua-dua belah pihak dan AS sudah melaporkan kemajuan berkenaan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, kedua-dua pihak 'lebih dekat daripada yang pernah dilakukan' dengan perjanjian dan kini terpulang di pihak Hamas.
Hamas berkata, pihaknya berminat untuk mencapai perjanjian.
"Perjanjian itu akan membebaskan tebusan, menghentikan pertempuran, menyediakan keselamatan kepada Israel dan membolehkan kami meningkatkan bantuan kemanusiaan dengan ketara kepada rakyat Palestin yang menderita teruk dalam perang yang dimulakan oleh Hamas ini," kata Biden ketika berucap dalam pengumuman pencapaian dasar luarnya, semalam.
Seorang pegawai Israel berkata, rundingan di peringkat lanjut untuk membebaskan sehingga 33 tebusan, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Terdapat seramai 98 tebusan kekal di Gaza, menurut pihak berkuasa Israel.
Delegasi Hamas di Doha mengeluarkan kenyataan semalam, selepas pertemuan dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, memaklumkan rundingan berjalan dengan baik.
Israel melancarkan serangannya di Gaza selepas pejuang Hamas menyerang sempadannya pada Oktober 2023 yang membunuh 1,200 orang dan menjadikan lebih 250 tebusan.
Sejak itu, lebih 46,000 penduduk Palestin telah terbunuh di Gaza, menurut pegawai kesihatan Palestin, dengan sebahagian besar semenanjung Gaza musnah dan sebahagian besar penduduknya berpindah.
Pihak yang berperang bersetuju selama berbulan mengenai prinsip menghentikan pertempuran sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan oleh Hamas dan tahanan Palestin oleh Israel.
Namun Hamas sentiasa menegaskan perjanjian mesti membawa kepada penamatan kekal perang dan pengunduran Israel dari Gaza, manakala Israel enggan menamatkan perang sehingga Hamas dibongkar.
Disiarkan pada: Januari 14, 2025
|