GAMBAR Hiasan
Mumbai: Seorang wanita Dalit berusia 18 tahun dari Kerala, selatan India menuduh 64 lelaki menderanya secara seksual sejak dia berusia 13 tahun.
Susulan dakwaan, polis menahan 28 orang setakat ini, namun belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Tertuduh yang berusia antara 17 hingga 47 tahun termasuk jiran wanita itu, jurulatih sukan dan rakan bapanya, menurut polis kepada BBC.
Pegawai kanan polis, Nandakumar S berkata, kes itu juga didaftarkan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak Daripada Kesalahan Seksual kerana penderaan berlaku ketika dia masih di bawah umur.
Polis telah mendaftar kira-kira 18 kes di bawah pelbagai undang-undang jenayah India serta Akta Kasta Berjadual dan Suku Tribu (Pencegahan Kezaliman), yang merupakan undang-undang untuk mencegah jenayah terhadap orang yang tergolong dalam kasta dan suku rendah di India.
Dalit berada di bawah hierarki kasta Hindu dan menghadapi diskriminasi meluas di India walaupun terdapat undang-undang yang melindungi mereka.
Lebih banyak kes dijangka akan didaftarkan dalam beberapa hari akan datang kerana polis masih melakukan siasatan dan menubuhkan pasukan terdiri daripada 25 orang.
Polis berkata, penderaan didakwa bermula apabila gadis itu berusia 13 tahun dan dikatakan dirogol secara bergilir, tiga kali dalam lima tahun yang lalu.
Peguam yang mengetuai Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak (CWC) daerah itu memberitahu akhbar Indian Express, wanita berkenaan adalah seorang atlet dan menghadiri pelbagai kem sukan, yang mungkin memudahkan penderaan lanjut.
Keluarga wanita itu dilaporkan tidak mengetahui mengenai penderaan yang berlaku dan semuanya terbongkar selepas sepasukan kaunselor melawat rumah wanita berkenaan, bulan lalu.
"Dia telah diberikan kaunseling dan berjumpa seorang psikologi, menceritakan penderaan seksual yang dialaminya sejak berusia 13 tahun," kata ketua CWC kepada Indian Express dan memaklumkan wanita itu sudah dipindahkan ke pusat perlindungan,
Disiarkan pada: Januari 14, 2025
|