Britain melarang pengimportan daging dan produk tenusu ternakan dari Jerman selepas kes penyakit kaki dan mulut dilaporkan di negara itu. - Foto AGENSI
LONDON: BRITAIN melarang import daging ham serta pelbagai produk daging dan tenusu dari Jerman dalam usaha menghalang penularan penyakit kaki dan mulut ke negara itu selepas satu kes disahkan di pinggir Berlin, minggu lalu.
Kerajaan menyatakan walaupun tiada kes penyakit haiwan itu dilaporkan di Britain, larangan itu akan membantu mencegah penularan serta melindungi petani dan mata pencarian mereka.
Jumaat lalu pihak berkuasa Jerman mengesahkan wabak penyakit kaki dan mulut pertama dalam hampir 40 tahun yang dikesan pada sekumpulan kerbau air di pinggir Berlin.
Penyakit kaki dan mulut adalah penyakit virus yang teruk dan sangat mudah berjangkit yang menjejaskan ternakan seperti lembu, babi, kambing biri-biri, kambing, serta haiwan berkuku belah lain.
Walaupun penyakit ini tidak menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia atau keselamatan makanan, wabak yang teruk pada 2001 di Britain menyebabkan lebih enam juta haiwan terpaksa disembelih, merosakkan pendapatan ramai petani.
Wabak itu menyebabkan Jerman tidak lagi boleh diklasifikasikan sebagai bebas daripada penyakit kaki dan mulut, dan dijangka mencetuskan sekatan perdagangan yang meluas.
Isnin lalu, Kementerian Pertanian Jerman menyatakan eksport produk susu dan tenusu, daging dan hasil daging, kulit serta produk darah kini "hampir mustahil," beroperasi sambil menambah bahawa pihaknya "menganggap negara ketiga akan segera mengenakan larangan ke atas barangan itu dari Jerman."
Jerman adalah pengeksport daging babi ketiga terbesar ke United Kingdom (UK) dengan pegangan pasaran sebanyak 18 peratus, serta pengeksport produk tenusu kedua terbesar dengan pegangan pasaran 12 peratus, menurut Lembaga Pembangunan Pertanian dan Hortikultur Britain (AHDB).
"Ini bermakna daging ham, gammon, bacon serta produk seperti salami dari Jerman tidak akan dibenarkan masuk ke UK. Oleh itu, kami menjangkakan akan berlaku gangguan bekalan," kata Ketua Kesihatan dan Kebajikan Haiwan AHDB, Mandy Nevel.
Antara Januari hingga Oktober 2024, UK mengimport 117,340 tan metrik daging babi bernilai £448 juta (RM2.4 bilion) dari Jerman, menurut AHDB.
Import produk tenusu berjumlah 130,000 tan dalam tempoh yang sama dengan nilai £283 juta (RM1.3 bilion), manakala import daging lembu dan kambing biri-biri jauh lebih kecil, masing-masing sebanyak 6,796 tan (RM1.07 BILIONjuta) dan 85 tan (£963,000). ($1 = 0.8220 pounds)
|