TANGKAP layar daripada video disiarkan CBS News menunjukkan Karen Kylleso ketika dia ski bersendirian ke Kutub Selatan.
Oslo: Seorang gadis Norway berusia 21 tahun menjadi individu termuda ski bersendirian dan tanpa bantuan ke Kutub Selatan. Karen Kylleso mencipta rekod itu pada Isnin, 114 tahun selepas rakan senegara dan penjelajah kutub, Roald Amundsen menjadi orang pertama yang sampai ke Kutub Selatan.
Kylleso dilahirkan pada 9 Mei 2003 dan menempuh perjalanan sejauh 1,130 kilometer dalam tempoh 54 hari.
"Ia hebat dan agak pelik," katanya kepada saluran televisyen Norway TV2.
"Saya sudah tentu merasakan pencapaian dan gembira namun harus mengakui ia juga agak pelik untuk meninggalkan pengalaman yang saya alami ini sejak dua bulan lalu," katanya.
Gadis Scandinavia itu merampas Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai individu termuda yang berada di Kutub Selatan, secara solo dan tanpa bantuan, daripada warga Perancis Pierre Hedan.
Hedan mencipta rekod itu pada 7 Januari tahun lalu, pada usia 26 tahun.
KAREN Kylleso mencipta rekod itu pada Isnin. FOTO Instagram Kylleso mempunyai ketinggian 1.52 meter dan berat 48 kilogram (kg) menarik kereta luncur seberat 100 kg, atau dua kali ganda beratnya, dalam usahanya untuk mencapai kutub berkenaan.
Dia tiba lewat pada malam Isnin dalam suhu sekitar -25 darjah Celsius.
"Saya sebenarnya mendapati ia agak jelik apabila saya tiba di sini," katanya kepada TV2.
"Selepas 54 hari (menyaksikan) alam semula jadi yang indah, kamu tiba dan terdapat bangunan, mesin. Ia kelihatan sangat tidak sesuai di sini," katanya, merujuk kepada pangkalan penyelidikan Amundsen-Scott Amerika Syarikat.
Kylleso berlatih selama enam tahun untuk meraih pencapaian itu dan terpaksa memperlahankan langkahnya menjelang penghujung misinya, mengalami apa yang dia percaya sebagai asma yang disebabkan oleh cuaca sejuk.
Disiarkan pada: Januari 15, 2025
|