![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250204/kch-ub040225-hl-mtuc-p1.jpeg)
KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak mengingatkan majikan bahawa Akta Perintah Gaji Minimum (PGM ) berkuat kuasa pada 1 Februari 2025.
Menurut Pengerusi MTUC Bahagian Sarawak Zaidi Nasar (gambar) dalam satu kenyataan baru-baru ini, ia termaktub mengikut beberapa syarat yang telah ditetapkan.
“Gaji minimum adalah RM1,700 sebulan iaitu majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih wajib membayar gaji minimum RM1,700 sebulan.
“Bagi majikan yang menjalankan aktiviti profesional juga wajib membayar gaji minimum RM1,700 sebulan, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan.
“Sementara untuk majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, perintah ini akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” katanya menerusi kenyataan itu.
Gaji minimum tersebut ujarnya merujuk kepada gaji pokok dan tidak termasuk elaun, insentif atau bayaran tambahan.
Untuk pekerja yang dibayar berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, gaji bulanan yang kena dibayar hendaklah tidak kurang daripada gaji minimum bulanan, tambahnya.
Majikan tidak boleh membayar gaji pokok yang lebih rendah daripada gaji minimum walaupun dengan persetujuan pekerja. Pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) jika terdapat pelanggaran.
Mohon pekerja-pekerja memaklumkan kepada rakan-rakan pekerja dan pihak majikan mengenai tarikh penguatkuasaan tersebut. Pada masa yang sama, pastikan prestasi kerja dan produktiviti ditingkatkan.
Selain mengamalkan kerjasama yang baik dengan majikan untuk kebaikan bersama.
Kata Zaidi lagi, perintah gaji minimum RM1,700 membantu mengatasi masalah tekanan peningkatan saraan hidup yang semakin tinggi.
Justeru pekerja diingatkan untuk memaklumkan kepada JTK sekiranya ada majikan yang tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum tersebut.
Pekerja boleh menghubungi MTUC Bahagian Sarawak jika memerlukan bantuan dengan menghantar e-mel ke [email protected]
|