![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250204/myy-ub040225-cc-lukbanjir-p2.jpg)
Lukanisman meredah banjir untuk turun padang meninjau keadaan di pekan Bekenu pada 31 Januari lalu.
MIRI: Ahli Parlimen Sibuti kesal dengan kerosakan yang berlaku di pejabat pusat khidmat masyarakat di kawasan Parlimennya di Bekenu yang turut dilanda banjir, sambil berharap ia dapat beroperasi secepat mungkin.
Dato Lukanisman Awang Sauni yang juga Timbalan Menteri Kesihatan dalam catatan di akaun Facebook miliknya hari ini berkata, beliau prihatin dengan ribuan pengundinya yang terjejas teruk akibat banjir besar, yang berlaku akibat pertembungan hujan lebat luar biasa dan fenomena pasang besar, menjelang Tahun Baharu Cina, awal minggu lalu.
“Saya telah mengarahkan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti untuk memeriksa keadaan pejabat di Bekenu bagi memastikan kerosakan yang berlaku. Saya akan cuba beroperasi secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, ribuan rumah dinaiki air dan banyak kerosakan akibat banjir ekoran hujan monsun yang mana bahagian Miri dan Bintulu menerima tempias minggu lepas, mengakibatkan tanah runtuh dan banjir besar.
Bintulu adalah yang paling teruk terjejas di negeri ini manakala kawasan Parlimen Sibuti yang berjiran dengan bahagian itu juga terjejas teruk, mengakibatkan empat pusat pemindahan dibuka di sini.
Pekan Bekenu dan pusat pemindahan sementara yang ditetapkan di Balai Raya Bekenu dinaiki air dalam kejadian itu, memaksa pihak berkuasa bergegas untuk memindahkan PPS ke SMK Bekenu.
Pekan dan beberapa kampung turut terputus hubungan jalan raya dan telekomunikasi semasa banjir dan pihak berkuasa berkata ia telah dipulihkan semalam selepas banjir surut di sini.
Lukanisman berkata, cabaran pascabanjir adalah lebih besar kerana ia melibatkan kerja pembersihan, mengenal pasti kerosakan dan menyemak dokumen yang hilang.
“Banyak peralatan bantuan perubatan kami tenggelam dan semoga Allah permudahkan urusan masyarakat Subis yang ditimpa musibah kali ini,” katanya.
Ahli Parlimen Sibuti itu turut meredah banjir besar ketika meninjau keadaan keperluan rakyat dan membantu mereka.
Malah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pergi ke PPS SMK Bekenu untuk bertemu dengan agensi terbabit bagi mengenal pasti keperluan dan masalah, agar dapat bersama-sama menanganinya.
|