Edited by Vellfire at 5-2-2025 09:15 AM
Runtuhan tersebut mengakibatkan sebahagian jalan terjejas. - Gambar JBPM
SIBU: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Lorong Rantau Panjang Jaya 7 di sini malam tadi, mengakibatkan sebahagian jalan terjejas.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan rumah dilaporkan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah segera dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan pada jam 11.02 malam.
Anggota sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian. - Gambar JBPM
"Kejadian melibatkan runtuhan sepanjang 210 kaki, selebar 10 kaki, dan setinggi 10 kaki.
“Namun, lapan rumah berhampiran tidak terjejas, dan tiada pemindahan penduduk dilakukan,” katanya.
Pihak bomba menjalankan pemantauan di kawasan kejadian, manakala pihak polis memasang tali sawar-sawar untuk mengawal pergerakan orang ramai di lokasi.
Lapan buah berhampiran tidak terjejas dalam kejadian itu. - Gambar JBPM
Operasi tamat sekitar jam 12.40 pagi.
Selain pasukan BBP Sungai Merah, pasukan polis dan kakitangan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) turut berada di lokasi bagi pemantauan lanjut.
Anggota bomba sedang meninjau tahap bahaya rekahan di atas jalan raya susulan kejadian runtuhan tersebut. - Gambar JBPM
|