Sulong (duduk, dua kiri) bersama tetamu kehormat menyaksikan persembahan tarian singa sebaik perasmian majlis di UNIMAS hari ini.
KOTA SAMARAHAN: Penuntut asing yang mengambil pelbagai jurusan dari peringkat ijazah, sarjana dan doktor Falsafah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan duta kecil kepada pusat pengajian itu di negara masing-masing.
Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Sulong Matjeraie berkata ia bagi mencapai sasaran 1,500 pelajar asing menjelang 2026 berbanding sekitar 700 orang ketika ini dalam pelbagai jurusan dan kita bersedia meraikan mereka sebagai satu keluarga di universiti ini.
"Saya sangat mengalu-alukan peranan pelajar asing untuk mempromosikan UNIMAS di negara masing-masing dan kami dapat memenuhi keperluan dan kemudahan pengajian anda sehingga ke peringkat doktor falsafah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis UNIMAS Global Chinese New Year Celebrating dengan kerjasama UNIMAS Business School di The Gallery DeTAR Putra, UNIMAS di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri para penuntut dari pelbagai negara terutama penuntut dari negara China dan Indonesia serta Brunei yang menyambut Tahun Baharu Cina kali ini.
Tambah Sulung lagi, semua penuntut yang berada di UNIMAS sama ada penuntut tempatan atau luar negara dianggap satu keluarga dan akan diraikan setiap kali tiba musim perayaan.
"Saya berpendapat jika ada pun perbezaan hanya sekitar 0.01 peratus dan kita saling mengenali antara satu sama lain dan kita mendekatkan jurang perbezaan dengan sambutan perayaan...kerana kita di sini pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan justeru sambutan perayaan merupakan wadah perpaduan kita di UNIMAS.
"Sehubungan itu saya berharap tahun ini kita di UNIMAS dapat menggembleng kerjasama dengan konsulat China, Indonesia dan Brunei untuk menarik lebih ramai pelajar mereka untuk datang menimba ilmu di sini kerana kita mempunyai tenaga pakar dan akademik yang sangat bertauliah dan memenuhi keperluan pengajian penuntut.
“Bukan itu sahaja, pihak pengurusan UNIMAS turut mengadakan kolaboratif dengan pihak Jabatan Imigresen di negeri ini untuk memudahkan permohonan kemasukan pelajar untuk menimba ilmu di universiti kita.
"Kita di pihak pengurusan tertinggi UNIMAS menyedari bahawa tidak ada kemampuan melakukan secara bersendirian sebaliknya menagih kerjasama erat bersama konsulat asing dan pihak Jabatan Imigresen di negeri dan negara ini amnya," katanya sambil menambah, UNIMAS komited untuk menawarkan satu pengalaman pengajian yang menakjubkan sepanjang pelajar berada di universiti ini.
"Jika kita (UNIMAS) berupaya menawarkan satu pengalaman menakjubkan sepanjang penuntut berada di sini saya cukup berkeyakinan bahawa angka sasaran 1,500 itu pasti melonjak kerana penuntut asing itu boleh dijadikan sebagai duta pada masa depan untuk negara masing-masing.
"Justeru kita mahu agar UNIMAS Global Team dapat memainkan peranan aktif mereka di negara yang disasarkan selepas ini untuk mempromosikan universiti ini di mata dunia," katanya.
"Apa pun kita mengakui tidak dapat memenuhi keperluan pengajian 100 peratus sebab ada ketika terpaksa berhadapan kekangan semasa luar jangka namun kita percaya ia mampu diatasi hasil kerjasama pihak konsulat, pihak pengurusan UNIMAS, UNIMAS Global Team serta para pelajar tersebut." katanya.
Bercakap lanjut, Sulong mahu penuntut asing tidak terlalu risau sepanjang berada di UNIMAS terutama pelajar China kerana beliau mempunyai latar pendidikan di China iaitu Guandong.
"Jangan risau kerana kami di Sarawak adalah sebuah negeri berbilang kaum dan sangat menitikberatkan perpaduan kaum dan menjadikan semua perayaan sebagai acara rasmi dan diraikan untuk merapatkan hubungan silaturahim pelajar berbilang di universiti ini," tegasnya.
Hadir sama ke majlis itu ialah Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, Timbalan Konsul Jeneral China di Kuching Xing Weiping, Konsul Konsulat Indonesia di Kuching Sigit Witjaksono, Konsul Jeneral Brunei di Kuching Sheikh Abdul Mahdani, Timbalan Naib Canselor (Akadamik dan Antarabangsa) Profesor Dr Fitri Suraya Mohammad Hapnie Joblie, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Siti Nor Linda Taib, Profesor Dr Noraziah Wahab dan Pengarah UNIMAS Global Thian Foong Fatt.
|