(Duduk tiga kiri) Clarence, Ramlan, Jamri, Tawang bergambar bersama pegawai dan anggota JPBM Zon Tujuh Limbang.
LIMBANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengukuhkan kerjasama dengan Jabatan Bomba Brunei dalam menghadapi situasi tidak dijangka termasuk menetapkan laluan pantas untuk menghulurkan bantuan di Limbang dan Lawas.
Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran berkata pihaknya mengakui terdapat kekangan berdasarkan kedudukan Limbang dan Lawas yang agak jauh dari Miri menyebabkan bantuan sukar dilakukan khususnya ketika berdepan kes kecemasan.
Ujarnya berdasarkan pengalaman jabatan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dan BBP Lawas terpaksa mendapatkan bantuan dari bomba Sipitang, negeri Sabah dan negara jiran Brunei ketika berdepan situasi tidak dijangka termasuk kes kebakaran serius.
“Dalam lawatan ke Brunei, kita juga ada mengadakan perbincangan untuk menghadapi isu ini di mana kita juga bekerjasama dengan Sabah dan Brunei.
“Selain kita menerima sumbangan daripada pemimpin setempat untuk tambahan aset, salah satunya kerjasama antara Brunei adalah menetapkan laluan pantas (fast lane) dari Lawas untuk memberi bantuan kepada Limbang, kita guna laluan yang cepat,jadi proses sampai ke Lawas juga akan cepat,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Tahunan Zon Tujuh serta Lawatan Kerja Rasmi ke JBPM Limbang hari ini.
Turut hadir ialah Ketua JBPM Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang Tawang Lingem dan Ketua BBP Lawas Clarence D.Primus Tiandun.
Jamri berkata lagi untuk masa ini jabatan itu mewujudkan penyelesaian bagi memberi bantuan kepada Limbang dan Lawas jika berdepan kes tidak dijangka.
“Kita berharap pada masa akan datang kita akan dapat mencari penyelesaian lebih efektif, kerana diakui Lawas dan Limbang berada jauh dari zon di Miri dan Kuching.
“Jadi kami terpaksa menggunakan segala fasiliti, aset dan logisitik yang ada di persekitaran Lawas dan Limbang,” katanya.
|