MIRI: Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki tiga unit telefon bimbit yang dipercayai diperolehi secara tidak sah.
Ricarldo Carllos Kaya, 21, dari Batu 11 Jalan Miri-Bintulu didakwa mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1958 (Sarawak).
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki tiga unit telefon bimbit masing-masing jenama Realme, Infinix dan Oppo yang dipercayai diperolehi secara tidak sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 malam, 1 Februari lalu di tepi Jalan Lorong 4-9 Bandar Baru Permyjaya di sini.
Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.
Majistret Ashok Linggam membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 Mac depan untuk pengurusan kes.
Manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diperintahkan dibebas dengan jaminan RM500 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
|