Foto ihsan Facebook Datuk Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Johor menjadi penyumbang terbesar pertanian negara, setakat ini, dengan menyumbangkan RM17.21 bilion atau 17.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkasakan Johor sebagai 'bakul makanan' negara dan pada peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, ia akan direalisasikan melalui usaha mempertingkatkan pengeluaran produk agromakanan dan merancakkan aktiviti eksport hasil pertanian ke pasaran global.
"Kita dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan khusus terhadap bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama bagi tanaman nanas, kelapa, durian, pisang serta betik, dalam usaha memastikan prestasi pengeluaran hasil terus meningkat," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.
Malah, Onn Hafiz berkata, pertemuan sudah diadakan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pertanian serta keterjaminan makanan di Johor.
"Kita juga telah memperuntukkan RM18.48 juta tahun ini bagi pelbagai inisiatif pembangunan pertanian yang membabitkan kerjasama dengan agensi utama.
"Ia termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Johor Biotech, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan FarmByte.
"Kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan lebih RM21 juta dalam Belanjawan 2025 melalui KPKM kepada Johor bagi mempergiatkan usaha dan program berkaitan keterjaminan makanan," katanya.
Beliau sekali gus yakin usaha berterusan itu akan menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran agromakanan utama.
Katanya, ia juga mampu meningkatkan pendapatan petani serta pengusaha, selain memastikan keterjaminan makanan lebih baik untuk Bangsa Johor dan negara, dengan kerjasama dan sokongan KPKM.
|