|
Minat menyanyi hilang selepas tunai haji 13 tahun laluPELAWAAN Hip untuk menemubualnya disambut si empunya diri dengan segala senang hati. Tanpa banyak bicara, kata persetujuan dicapai dan pertemuan itu nanti bakal diadakan di kediamannya sendiri di Wangsa Maju. Tiba pada hari dijanjikan, kami pun bertemu.\n\n\n\nSaat kaki melangkah masuk ke ruang tamu rumah teres dua tingkat itu, suasana agak sunyi. Tiada hilai-tawa atau riuh-rendah kanak-kanak kedengaran, sebaliknya hanya suara tuan rumah yang mengundang penulis masuk. \n\n\n\n\nMelihat susuk tubuh dan rupa fizikal lelaki berusia hampir setengah abad ini, tidak banyak yang berubah. Dia masih seperti Razis Ismail, penyanyi era 1980-an yang cukup popular dan pernah mencairkan hati ramai gadis suatu ketika dulu.Senyuman manis sentiasa terukir di bibir, manakala renungan matanya masih tetap seperti dulu. Namun sesuatu yang mengagumkan mengenai penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kepulangan ini, dia seorang yang sangat ramah. Biarpun ia pertemuan kali pertama antara kami, namun rasanya seperti sudah bertahun-tahun mengenali diri artis lelaki ini.“Hendak tanya apa, tanyalah. Saya pun tak tahu nak cerita apa kerana tiada cerita menarik yang boleh saya kongsi bersama peminat kerana sudah bertahun-tahun saya meninggalkan dunia seni.“Selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia nyanyian, masa saya lebih banyak tertumpu kepada keluarga dan juga mengusahakan perniagaan kantin sekolah. Jadi, dua perkara itulah saja dunia saya selain bersama rakan-rakan surau,” ujar Razis membuka bicara kami petang itu.\n\n\n\nMengimbau kembali detik dia melahirkan hasrat untuk bersara, bapa kepada lima cahaya ini berkata, perkara itu berlaku secara spontan dan bukannya dirancang.“Entahlah, saya tak tahu kenapa hati saya sudah tertutup untuk seni. Seingat saya, sekembalinya daripada menunaikan ibadat haji pada 1998, minat saya dalam bidang seni terus hilang. Saya tidak memandang serong pada dunia seni, tetapi minat itu hilang secara tiba-tiba dan persembahan saya di Pulau Pinang pada 31 Ogos 1997, menjadi medan terakhir saya menyanyi di pentas,” kata penyanyi berasal dari utara tanah air ini.Katanya, sejak itu dia juga jarang mengikuti perkembangan dunia hiburan tanah air. Begitupun, bukanlah bermakna dia melupakan terus dunia yang pernah menjadi tempat dia mencari makan. Malah, sesekali dia tetap menghubungi rakan penyanyi seangkatan dengannya.“Jika ada masa terluang, saya akan berjumpa dengan mereka. Duduk bersembang sambil minum-minum. Bagaimanapun, apabila saya kata, saya tidak mahu terbabit dalam bidang seni, bukanlah bererti saya tidak mengikuti perkembangannya langsung. Penyanyi popular seperti Datuk Siti Nurhaliza saya kenal juga.“Jangan terkejut kerana saya juga menonton program realiti Akademi Fantasia dan saya kenal jugalah beberapa peserta yang pernah dilahirkan program itu,” katanya sambil ketawa.Dalam pertemuan itu, sempat juga Razis membongkar rahsia lama yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Di sebalik kelunakan suaranya ketika menyanyi, rupa-rupanya suara itu juga pernah melaungkan azan di surau kampungnya.“Saya dulu pernah menjadi bilal di kampung. Pernah suatu ketika azan yang saya laungkan itu digunakan oleh stesen radio di Pulau Pinang. Bila tiba waktu solat, azan yang menggunakan suara saya itu akan berkumandang di stesen radio berkenaan. Selepas itu, suara nyanyian saya pula yang diputarkan stesen radio itu,” kata Razis sambil tertawa kecil.Teringin bekerjasama semula dengan MananSIAPA sangka undangan seorang teman lama, Datuk Shah Rezza, yang memintanya mengadakan persembahan pada acara Festival Fesyen Islam membuka pintu hati Razis untuk membuat kemunculan semula di persada seni. Apatah lagi lagunya masih mendapat tempat di hati peminat, pastinya hasratnya itu amat dialu-alukan oleh banyak pihak.“Sebenarnya apabila saya menyatakan hasrat untuk kembali, ia bukanlah secara serius, sebaliknya bergantung kepada kesesuaian waktu juga. Kalau tawaran mengadakan persembahan di tempat tertutup serta majlis makan malam, saya akan pertimbangkan. Bukanlah menerima sebarang tawaran seperti dulu. “Lagipun sekarang ini saya mempunyai masa yang terluang dan berehat daripada perniagaan kantin sekolah. Anak-anak pun sudah semakin membesar, ada yang sudah masuk universiti pun. Jadi bolehlah saya memenuhi undangan bersesuaian,” katanya yang pernah menyertai konsert Masihkah Kau Ingat anjuran radio Klasik Nasional di Stadium Tertutup Johor Bahru, Johor, sejak membuat kemunculan semula itu.Ditanya tidakkah dia bercita-cita untuk merakamkan lagu baru, Razis memberitahu, niat merakamkan single seperti yang dilakukan kebanyakan penyanyi sekarang memang tersimpan dalam hati. Namun dia meletakkan syarat sebelum hasrat itu ditunaikan.“Kalau boleh saya mahu kembali menyanyikan lagu ciptaan Manan Ngah. Cuba awak lihat, sehingga kini lagu ciptaannya memang malar segar. Kekuatan lagu Manan terletak pada petikan gitarnya. Sebagai contoh, lagu Kepulangan yang dicipta olehnya tetap diminati sehingga ke hari ini,” katanya yang turut meminati lagu dengan lirik tulisan Habsah Hassan itu.Bernaung di bawah syarikat rakaman WEA Records (kini Warner Music), Razis mencipta popularitinya sendiri dengan lagu cinta dan syahdu, antaranya Hadirmu Membawa Sinaran, Kepulangan dan Mawar Oh Mawarku. Tidak ketinggalan popularitinya melonjak selepas disunting syarikat produksi, RJ Filem, untuk membintangi filem Mawar Merah, bergandingan dengan Allahyarham Mustafa Noor dan Raja Ema pada 1987.Mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya, Zuraini Zakaria, Razis kini bahagia melayari kehidupan di samping anak-anak, Mohamed Haikal, Farah Liyana, Mohamed Hazim, Mohamed Hariz dan Fatin Amira.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|