View: 142|Reply: 0
|
Nostalgia Studio Jalan Ampas
[Copy link]
|
|
Bintang veteran berhimpun di Saloma Bistro setiap RamadanSUDAH menjadi tradisi Ramadan sejak tujuh tahun lalu, sekali lagi Saloma Theatre Restaurant menjadi gelanggang perhimpunan seniman dan seniwati lagenda yang banyak berjasa kepada industri perfileman Melayu sekali gus mengenang kembali era kegemilangan lalu.\rBerkonsepkan Nostalgia Studio Jalan Ampas, lebih 30 bintang veteran termasuk yang didatangkan khas dari Singapura diraikan dalam majlis berbuka puasa yang turut dimeriahkan kehadiran ramai artis muda.\r\n\n\n\n\rPencetus acara penuh bermakna merangkap pemilik premis terbabit, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir berkata, penganjuran majlis berkenaan direalisasikan sebagai penghargaan terhadap insan yang menabur jasa dalam membangunkan industri seni tanah air.\r\r\n\n\n\n\n“Saban tahun kami berbesar hati apabila melihat wajah-wajah ceria bintang lagenda yang dipertemukan dengan teman seperjuangan apatah lagi ramai tidak tinggal di Kuala Lumpur dan majlis seumpama ini yang dapat menyemarakkan semula nostalgia lalu seterusnya mengukuhkan lagi ikatan persahabatan.\r“Inilah antara usaha yang mampu kami lakukan untuk mereka. Ketika mereka masih sihatlah kita hargai sumbangan yang diberikan. Kegembiraan mereka dapat berkumpul semula dengan rakan lama sudah cukup bererti buat kami,” katanya selepas sesi penyerahan hamper serta duit raya yang mencecah RM20,000.\rHadir sama Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Victor Wee yang turut menyampaikan duit raya serta hamper kepada barisan seniman dan seniwati yang menjadi tetamu istimewa.\rAntaranya Neng Yatimah, Zaiton, Kasim Masdor, Kuswadinata, Latifah Omar, Zaini Satar, Datuk Sarimah Ahmad, Mariam Ahmad, Karim Latiff, S Mariam, Mimi Loma, Salmah Ahmad, Datin Umi Kalsom, Datuk Aziz Satar, Ruminah Sidek , Datuk Maria Menado, Mariani, Sofea Ibrahim dan Momo Latif.\r\n\n\n\n\rTidak ketinggalan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Yusni Hamid, Datuk Yusof Haslam, Datuk Jeffryu Din, Aspalela Abdullah, Mat Sentul, Hail Amir, Uji Rashid, Norlia Ghani, Sofea Ibrahim serta Abbas Bakar.\rPenyanyi muda juga memberikan penghargaan terhadap seniman dan seniwati menerusi segmen persembahan bersama medley istimewa, Irama Empat Bintang untuk mengenang kembali dendangan malar segar yang dipopularkan Nona Asiah, P Ramlee, Ahmad Daud dan Saloma selain lagu raya.\rSudah pasti tumpuan ramai terarah kepada pentas utama menerusi gabungan suara penyanyi yang muncul secara giliran seperti Ahmad Fauzi, Nassier Wahab, Mas Omar, Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Zur Eda dan Siti Fairuz. \rMelihat dari segi layanan serta atur cara majlis, sememangnya penganjur meletakkan insan yang dirai di tangga teratas apabila bukan hanya kakitangan Saloma, Syed Yusof juga sibuk bergerak dari meja ke meja berbual dan bertanya khabar.\rWalau ada dikalangan mereka kurang cergas berbanding dulu semetelah usia yang melepasi 70-an, semangat mahu berhimpun membuatkan masing-masing sukar menolak pelawaan menghadiri majlis berkenaan.\rSyed Yusof berkata, setiap tahun pihaknya memang mengadakan perancangan rapi bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam senarai malah pengangkutan serta penginapan juga disediakan untuk mereka yang jauh khususnya dari Singapura dan Johor.\r“Kebiasaannya mereka berada di ibu negara sehari lebih awal supaya dapat berehat di bilik penginapan di Hotel Concorde. Kita mahu memastikan mereka selesa sepanjang berada di Kuala Lumpur.\r“Bukan hanya hadir untuk majlis ini, mereka juga tidak lupa mengunjungi pusara beberapa sahabat lama yang lebih dulu menyahut panggilan Ilahi termasuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma,” katanya lagi.\rPertemuan eratkan hubungan\rSementara itu, seniwati Zaiton yang didatangkan dari Singapura bersyukur diberikan kesihatan yang baik untuknya sekali lagi berpeluang berkumpul dalam majlis yang disifatkan mampu mengeratkan ukhwah.\r“Dalam setahun saya kerap berkunjung ke sini kerana selain menghadiri majlis seumpama ini, saya turut melawat anak sulung yang tinggal di sini. Cuma majlis ini paling besar kerana begitu ramai rakan lama yang hadir. Seronok sebab dapat berkongsi banyak cerita.\r“Sebenarnya saya sungguh terharu kerana masih banyak pihak yang mengingati seniman dan seniwati seperti kami dan tiada yang mampu saya ucapkan selain terima kasih yang tidak terhingga,” katanya yang sudah mencecah 73 tahun itu.\rKata pelakon yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Raja Bersiong itu, hari raya ketika zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas di Singapura membuatkannya terkenang memori mengunjungi rumah terbuka rakan yang tinggal di rumah pekerja. \r“Saya tinggal di luar, tetapi ketika Syawal kami masih dapat pelepasan cuti. Biasanya kalau ada kesempatan saya masih akan mengunjungi rakan lain di kuaters. Mereka yang tinggal di situ meriah kerana setiap keluarga membawa juadah istimewa masing-masing.\r“Bagi saya sendiri, hingga kini saya kenangan masa lalu masih tersimpan kemas di ingatan. Kenangan berpuasa dan menyambut lebaran tetap akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya lagi.\rBagi Kuswadinata yang mesra disapa Pak Kus, 73, sejak tujuh tahun lalu dirinya tidak pernah tertinggal satu pun majlis yang dianjurkan Saloma kerana beranggapan ia acara yang menghimpunkan ramai anak seni daripada semua zaman.\r“Kita boleh nampak artis lama dari zaman P Ramlee hingga pelakon muda yang baru bertapak. Sebagai orang lama saya melihat semua transisi ini dari segala sudut yang menampakkan semangat seluruh warga seni.\r“Apabila ada pihak berbesar hati anjurkan majlis yang begitu bererti ini, sudah pasti kami menerima undangan hadir ke majlis ini dengan hati terbuka. Inilah antara acara yang menemukan kami dengan sahabat lama dan baru,” katanya yang tinggal di ibu negara sejak 15 tahun lalu.\rSebagai antara pelakon terakhir yang meninggalkan kuaters berhampiran Studio Jalan Ampas, sememangnya Pak Kus masih mengenang kegemilangan lokasi bersejarah buat industri kerana ia adalah gelanggang terawal kegemilangan filem Melayu.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|