|
Sektor perkilangan, perkhidmatan jadi dua pemangkin utama, bukti keyakinan pelabur\rMALAYSIA mencatatkan pertumbuhan kemasukan pelaburan asing (FDI) yang memberangsangkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini, iaitu RM21.3 bilion, meningkat 76 peratus daripada RM12.1 bilion yang diraih dalam tempoh sama tahun lalu.\r\n\n\n\n\r Dalam tempoh itu, sektor perkilangan dan perkhidmatan muncul sebagai dua sektor utama yang menjadi pemangkin kepada aliran masuk FDI itu.\r\r\n\n\n\n\n Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata peningkatan aliran masuk itu menunjukkan keyakinan pelabur yang terus meningkat lanjutan inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.\r“Pengenalan beberapa inisiatif utama seperti Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi membantu menambah baik persekitaran perniagaan secara keseluruhan.\r“Pemulihan yang kukuh dalam aliran masuk FDI negara itu akan memastikan unjuran pelaburan swasta bagi tahun ini, iaitu sebanyak RM83 bilion tercapai,” katanya menerusi kenyataan mengumumkan prestasi terkini FDI yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.\rMustapa berkata, bersandarkan perkembangan semasa peningkatan aliran pelaburan asing itu, jumlah keseluruhan FDI tahun ini dijangka berupaya melepasi paras dicatatkan tahun lalu iaitu RM29.3 bilion. \r\n\n\n\n\rBagi tujuh bulan pertama tahun ini, pelaburan yang sudah diluluskan dalam sektor perkilangan adalah 514 projek, membabitkan nilai RM31.7 bilion yang mana RM15.9 bilion (50.2 peratus) daripadanya adalah pelaburan domestik dan RM15.8 bilion (49.8 peratus) pelaburan asing.\rPada Julai lalu, sejumlah 61 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM4.3 bilion diluluskan yang mana RM2.4 bilion (55.8 peratus) adalah pelaburan domestik manakala RM1.9 bilion (44.2 peratus) adalah pelaburan asing.\rBagi tempoh Januari hingga Julai lalu, sejumlah 313 projek dengan pelaburan bernilai RM15.9 bilion (50.2 peratus) adalah projek baru, manakala sebanyak 201 projek dengan pelaburan bernilai RM15.8 bilion (49.8 peratus) pula adalah projek pembesaran/pelbagaian.\rBeliau berkata, menerusi projek berkenaan, ia dijangka mampu mewujudkan 63,387 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.\rSementara itu, Mustapa berkata, pelaburan domestik yang diluluskan adalah membabitkan industri kelengkapan pengangkutan (RM3.6 bilion), produk logam asas (RM2.7 bilion), produk logam fabrikasi (RM2.3 bilion), produk petroleum termasuk petrokimia (RM1.7 bilion), kimia dan produk kimia (RM1.4 bilion), produk elektronik dan elektrikal (RM1.2 bilion) dan kayu dan produk kayu (RM785.3 juta).\rPelaburan asing yang diluluskan pula membabitkan industri produk elektronik dan elektrikal (RM7.2 bilion), produk logam asas (RM2.4 bilion), pengilangan makanan (RM1.8 bilion), kimia dan produk kimia (RM1 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM902.4 juta), produk petroleum termasuk petrokimia (RM520.8 juta) dan produk logam fabrikasi (RM520.7 juta).\r“Punca utama pelaburan asing ialah Jepun (RM2.4 bilion), Amerika Syarikat (RM2.3 bilion), Singapura (RM1.9 bilion), Belanda (RM1.2 bilion) dan Taiwan (RM1.2 bilion),” katanya.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|