|
BAKAT cilik bukan saja turut sama diberi peluang mewarnai industri seni, malah kini keupayaan yang ada pada mereka turut mula diiktiraf, sebagai menghargai sumbangan golongan kecil ini.\rBertempat di Sunway Lagoon Amphitheater, Anugerah Kanak-Kanak 2011 anjuran TV3, baru-baru ini dilangsungkan dengan mempertaruhkan tujuh kategori.\r\n\n\n\n\rPenanti kira-kira 2,000 peminat untuk mengetahui keputusan pada majlis itu berakhir dengan menyaksikan Fimie Don yang terkenal menerusi drama Hikayat Putera Shazlan meraih dua kemenangan, iaitu dalam kategori Pelakon Kanak-Kanak Lelaki Terbaik dan Pengacara Paling Cool melalui segmen Berita Adik.\r\r\n\n\n\n\nManakala si comel yang kian meniti bibir peminat, Mia Sara Nasuha, terpilih memenangi anugerah Pelakon Kanak-Kanak Perempuan Terbaik hasil lakonannya dalam drama Adam Maya.\rBagi anugerah Penyanyi Kanak-Kanak Perempuan Popular pula, ia menjadi milik peserta program realiti Idola Kecil 2, Dayana, sementara rakannya daripada program sama, Azzam, menerima trofi bagi kategori lelaki.\rSeperti yang dijangka, watak animasi Upin dan Ipin yang mencetuskan fenomena tersendiri dalam dunia penyiaran berjaya memenangi anugerah Animasi Paling \rComel.\rBagi Program TV Paling Hebat pula, daripada 10 program yang dicalonkan, Upin dan Ipin berjaya mengetepikan calon lain termasuk Adik-Adikku, Berita Adik, Geng Bas Sekolah serta Tom Tom Bak.\rAnugerah kali pertama dianjurkan itu turut mengiktiraf pengacara serba boleh, Aznil Nawawi, yang merangkul anugerah Pengacara Paling Berinspirasi, Bunkface sebagai Artis Paling Berinspirasi dan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menerima trofi Idola Pilihan. Tiga kategori terakhir itu ialah anugerah khas.\rMenurut Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 (TV3 Kids), Mohd Azri Badri, penganjuran anugerah itu boleh dilihat sebagai usaha untuk memberikan pengiktirafan terhadap bakat dan pencapaian kanak-kanak dalam kategori tertentu.\rKatanya, anugerah yang julung kali diadakan di Malaysia itu diharap dapat memberikan inspirasi bagi melahirkan lebih ramai lagi artis cilik dan bakat muda yang mempunyai potensi besar.\r\"Bagaimanapun, tiga daripada anugerah yang dipertandingkan iaitu anugerah khas adalah terbuka kepada kanak-kanak dan golongan dewasa,\" katanya sambil memberitahu kemungkinan penambahan kategori akan dilakukan dalam anugerah seterusnya, di samping berhasrat mengadakan anugerah ini pada setiap tahun sebaik melihat sambutan yang cukup gah daripada peminat yang mengundi dalam laman sosial seperti Facebook.\rMajlis anugerah yang turut diserikan gandingan pengacara, Alif Satar dan Zher Peen, itu menarik apabila dikendalikan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, selain menampilkan artis terkenal seperti Shaheizy Sam, Suki, Haziq serta Juliana Evans sebagai penyampai trofi.\rAnugerah pembakar semangat\rSEBAGAI pemenang dua anugerah, Fimie amat bersyukur apatah lagi apabila stesen penyiaran berkenaan tidak melupakan sumbangan bakat cilik dalam bidang seni.\rFimie, 13, berkata anugerah yang diadakan itu tidak syak platform terbaik bagi menggerakkan bakat cilik seterusnya dalam dunia lakonan, nyanyian dan pengacaraan tanah air.\rPelajar Sekolah Menengah Kota Damansara Seksyen 7, ini yang menganggap dirinya disaing hebat oleh Dayana dan Haziq berkata, kejayaan itu tentu sekali dilihat sebagai rezeki dan pembakar semangat untuk memberikan sesuatu yang lebih baik selepas ini.\rBerlakon sejak usianya enam tahun, Fimie nyata gembira dengan pengiktirafan diterima, serta berharap anugerah itu menggalakkan lebih ramai bakat baru untuk mewarnai dunia seni selepas ini.\r\"Saya suka berlakon dan keluarga juga menyokong minat saya selama ini. Antara pulangan istimewa yang saya sudah dapat sejak berlakon adalah membeli sebuah basikal Fixie yang saya beli daripada hasil duit lakonan sendiri, selain selebihnya disimpan oleh ibu,\" kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.\rAbang dan kakaknya juga turut terbabit dalam dunia lakonan.\rKatanya lagi, cita-citanya adalah untuk menjadi penghibur yang serba boleh.\r\"Anugerah yang saya terima ini pula bukanlah tiket untuk saya berlagak sombong, tetapi saya melihatnya sebagai anugerah daripada pembentukan sikap yang baik serta usaha yang tidak mengenal erti kepayahan dalam menjadi diri saya seperti hari ini,\" katanya.\rHarap terus diminati ramai\rSI comel bernama Mia Sara ini mungkin menjadi pilihan ramai untuk menerima anugerah yang mempertandingkan dirinya. Biarpun masih kecil, namun dia nyata berbakat besar. Lebih istimewa, Mia petah apabila berkata-kata.\rBegitupun, keterujaannya terserlah apabila dia berjaya menewaskan calon kecil lain dalam anugerah yang kali pertama dianjurkan. \r\"Mia gembira dapat anugerah ini dan harap akan terus diminati peminat Mia. Mia mahu buat yang terbaik. Berlakon dengan baik dan terima kasih kepada semua,\" kata si cilik ini ketika ditanya perasaannya memenangi anugerah istimewa itu,\rManakala bapanya yang sentiasa bersama anak kesayangannya itu, Muhammad Ridhuan, berkata dia bersyukur anaknya terpilih memenangi anugerah terbabit.\r\"Pastinya sebagai bapa saya gembira dengan kejayaan anak saya ini. Terima kasih juga kepada peminat yang pilih Mia dan semua kemenangan ini datangnya daripada peminat.\r\"Sebenarnya, pada mulanya saya sendiri tidak tahu wujudnya anugerah seperti ini untuk kanak-kanak. Tetapi setelah dihubungi pihak TV3 yang memaklumkan pencalonan Mia, barulah saya tahu mengenainya,\" katanya sambil memberitahu anugerah seperti ini sepatutnya sudah lama diadakan bagi menilai bakat cilik yang berpotensi untuk maju.\rKatanya, dia melihat anugerah itu sebagai sesuatu yang cukup positif dalam bidang seni, serta berupaya membuka peluang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk sama-sama memeriahkan industri.\r\"Anugerah ini lebih spesifik kepada kanak-kanak dan saya melihatnya sebagai perkembangan yang positif dalam mendedahkan sesuatu yang sihat kepada kanak-kanak seperti di luar negara. Saya akan terus menyokong sesuatu yang baik seperti ini,\" katanya.\rAznil terkedu\rAZNIL sememangnya cukup disegani sebagai pengacara. Mana tidaknya, kebanyakan program kendaliannya mampu menarik perhatian ramai, seterusnya muncul sebagai rancangan popular. Sejak lebih sedekad lalu, namanya begitu kukuh dalam bidang pengacaraan. Justeru tidak hairanlah apabila dia muncul calon pilihan untuk memenangi anugerah Pengacara Paling Berinspirasi pada anugerah terbabit. \rBegitupun, pengacara ini nyata terkejut apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah berkenaan dalam majlis yang cukup meriah itu. Lebih-lebih lagi, ketika pengumuman pemenang anugerah itu dilakukan, Aznil dan Haziq bertindak sebagai penyampai trofi. \rSebaik saja Haziq mengumumkan namanya, suasana kaku seketika dan wajah Aznil kelihatan terpinga-pinga.\r\"Saya terkejut sebaik saja nama saya diumumkan Haziq kerana saya ialah penyampai trofi bagi anugerah itu. Itu sebabnya saya suruh Haziq umum sekali lagi. Semuanya cukup spontan dan itulah yang saya mahu daripada bakat cilik. Mengacarakan sesuatu secara spontan dan tidak ramai yang boleh lakukan seperti itu,\" katanya.\rAznil berkata, anugerah yang diterimanya dilihat sebagai satu tanggungjawab besar, apatah lagi apabila ribuan kanak-kanak ingin menjadikannya sebagai idola mereka.\r\"Sebaik saja menerima anugerah ini, saya melihatnya sebagai tanggungjawab besar yang harus saya pikul selepas ini. Ini bukan anugerah pengacara popular daripada hasil usaha saya sendiri, tetapi kali ini saya dipilih kanak-kanak untuk menjadi idola mereka. Jadi dari segi sikap dan segala-galanya perlulah positif kerana selepas ini saya menjadi cermin kepada semua kanak-kanak,\" katanya yang pada mulanya hadir ke majlis itu bagi memberikan sokongan serta mahu memeriahkan acara.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|