CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 167|Reply: 0

Lebih melankolik

[Copy link]
Post time 29-9-2011 09:05 AM | Show all posts |Read mode
Anuar enggan berkompromi setiap kali hasilkan album baruALUNAN melodi Lelaki Ini dan Ketulusan Hati yang dinyanyikannya pernah menjadi peneman di kala hati sedang dilanda kesedihan serta dicengkam rasa rindu yang tidak berpenghujung. Manakala Sedetik Lebih pula meneruskan lagi legasi penyanyi ini untuk terus bertahan dalam carta populariti apabila lagu yang dipetik daripada album runut bunyi filem epik Hikayat Merong Mahawangsa terus mendapat perhatian penggemar muzik.\n\n\n\nDengan diiringi muzik orkestra ditambah lirik yang cukup menyentuh jiwa, serta gaya penyampaian si penyanyi yang penuh penghayatan, membuatkan lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu boleh dianggap sebagai lagu cinta paling hebat untuk tahun ini. Boleh dikatakan apa saja sentuhannya, pasti menjadi emas dan mempunyai magis tersendiri.\n\n\n\n\nBegitulah kuatnya pengaruh figura bernama Anuar Zain. Apa yang dihasilkannya tidak pernah dibuat seperti sekadar melepaskan batuk di tangga. Semuanya dilakukan dengan penuh teliti. Jika ada bahagian yang tidak memuaskan hati, dia tidak teragak-agak untuk memperbaiki apa saja kekurangan seperti yang dilakukannya untuk album solo keempatnya, Anuar Zain 2011, yang mengambil masa agak lama sebelum berada di pasaran.Tegas pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini, tidak ada apa yang lebih menggembirakannya selain melihat senyuman peminat yang nyata berpuas hati dengan kehadiran produk terbaru itu. Berbanding album sebelum ini, Anuar Zain 2011 hanya memuatkan sebuah irama rancak, berjudul Simpati Cintamu, daripada lapan lagu dimuatkan di dalamnya. Itupun bukanlah dalam erti kata rancak sebenarnya. Manakala lagu lain lebih kepada irama melankolik, yang diakui cukup sinonim dengan penyanyi berusia 41 tahun ini.Mengulas perkara itu, Anuar berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang disengajakan. Sebaliknya mereka ketandusan lagu rancak untuk dimuatkan dalam album terbabit.\n\n\n\n“Sepanjang tiga tahun pembikinan album ini, kebanyakan lagu yang dihantar kepada saya berentak perlahan. Kalau ada pun lagu rancak yang dihantar, bilangannya tidak banyak dan sebahagian besar tidak bersesuaian untuk dimuatkan sama.“Jadi kami meneruskan saja pembikinan album dengan lagu-lagu yang ada. Saya sendiri tidak kisah jika album saya memuatkan semua lagu perlahan atau sebaliknya, semua lagu rancak, kerana apa yang lebih penting album itu menepati piawaian yang saya mahukan, manakala peminat pula suka dengan apa yang dihasilkan,” katanya ketika dihubungi Hip, Selasa lalu.Seperti yang pernah dijelaskannya sebelum ini, album yang diterbitkan oleh Anuar Zain Network Sdn Bhd dan diedarkan Universal Music Malaysia ini mempunyai nuansa yang berbeza, terutama dari segi muzik dan juga corak penyampaian dalam setiap lagu.“Untuk album ini, gaya nyanyian saya lebih lurus, tidak terlalu bermain dengan lenggok. Ini juga permintaan peminat yang mahu saya mencuba menyanyi dengan gaya sebegitu. Paling ketara, saya tidak banyak menggunakan nada tinggi seperti kelazimannya. Itu semua adalah untuk memberi kelainan menerusi buah tangan terbaru,” katanya.Baru saja berada di pasaran awal minggu lalu, Anuar berkata, dia belum dapat melihat maklum balas peminat terhadap album itu secara keseluruhan memandangkan ketika ini dia terlalu sibuk dengan latihan sempena konsert Hari Raya yang bakal dijayakannya di Esplanade, Singapura, Oktober depan.“Saya masih belum berkesempatan untuk turun mempromosikan album ini disebabkan kesibukan saya menjalani latihan. Namun seperti biasa, cita rasa setiap peminat saya berbeza-beza. Ada yang suka lagu ini, dan ada juga suka dengan lagu itu. Apapun, saya mengharapkan album ini mampu memberi hiburan kepada semua peminat,” kata Anuar yang mengaku mengeluarkan kos yang tinggi untuk penghasilan album ini.Teruja bersaing dengan penyanyi lama, baruSETIAP kali Anuar muncul dengan produk terbaru, pasti namanya akan tersangkut dalam mana-mana pertandingan. Keadaan itu sekali lagi berlaku apabila dia menyanyikan lagu Sedetik Lebih. Menerusi lagu terbabit, Anuar tersenarai sama dalam kategori vokal terbaik lelaki pada Anugerah Industri Muzik ke-18 yang bakal diadakan November ini.Dalam kategori itu, Anuar bersaing dengan penyanyi seperti Tam Spider, Reza Salleh, Aizat dan Azlan & The Typewriter. Mengulas perkara itu, Anuar berkata, dia teruja apabila mengetahui namanya tersenarai bersama-sama penyanyi hebat dari pelbagai generasi.“Seronok apabila dapat tahu mereka yang tersenarai dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Lelaki terdiri daripada penyanyi angkatan lama dan baru. Bukan kemenangan yang diharapkan, tapi semangat perjuangan itu yang penting,” ulasnya.Dalam perkembangan berkaitan, terdengar khabar angin yang menyatakan penyanyi kacak ini enggan mengadakan persembahan pada malam kemuncak acara tahunan itu nanti. Ketika diajukan pertanyaan berkenaan kepadanya, Anuar menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.“Siapalah yang pandai-pandai buat cerita dan menambah perisa ni? Saya tidak pernah menyatakan yang saya tidak mahu membuat persembahan pada malam kemuncak AIM18. Cuma apa yang boleh saya katakan, pada malam itu nanti, saya memang tidak dapat hadir kerana terbabit dengan persembahan yang sudah dipersetujui lebih awal.“Mungkin ada yang akan mempertikaikan tindakan saya itu, seolah-olah saya tidak menghargai majlis yang diadakan khusus untuk mengiktiraf bakat karyawan tempatan. Namun saya juga mempunyai prinsip iaitu jika saya sudah berjanji dan mengambil wang deposit persembahan berkenaan, mana mungkin saya mahu membatalkan begitu saja?“Ya, saya amat menghargai majlis seperti itu dan pada masa sama, saya tidak mahu dilihat sebagai artis yang tidak berpegang pada janji,” katanya mengharap pengertian.INFO: TriviaDALAM album solo keempat, Anuar mengekalkan konsep pop yang juga fortenya.DARIPADA lapan trek dihasilkan, enam daripadanya ialah gubahan komposer Indonesia, iaitu Numata, Nico Ajie Bandy, Ari Bias dan Adrian Martadinata, manakala dua trek lagi hasil ciptaan komposer tempatan, masing-masing oleh Aylwin Santiago dan Hazami.KU Berjanji Karna Cinta ialah single pertama daripada album ini dan diperkenalkan kepada pendengar lewat Ogos 2010. Lagu itu mendapat sambutan menerusi stesen radio tempatan dan Singapura.ANTARA lagu lain yang dimuatkan termasuklah Nadi Terhenti, Pernahkah, Terindah, Cinta Harus Memiliki, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku.

[Source]                [Go Back to Citizen Journalist]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 11:27 AM GMT+8 , Processed in 0.454126 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list