Bagi masyarakat Iban Sarawak, golongan dewasa kebanyakan memiliki tatu di kepala hingga ke hujung kaki, melambangkan status sosial dan keberanian mereka.
Menurut pengukir tatu terkenal di Kuching, Ernesto Kalum, 36, masyarakat Iban mencacah leher dan badan mereka secara tradisional sebagai membuktikan semangat kepahlawanan mereka.
Katanya, amalan itu dilakukan apabila seseorang pahlawan atau ketua memenggal kepala musuh.
"Tatu adalah keistimewaan orang Iban. Lagi banyak kepala musuh dipenggal, banyaklah tatu di badan mereka. Setiap motif tatu yang dilukis mempunyai maksud berbeza selain menjelaskan cara hidup, pengalaman dan keberanian mereka.
"Tatu juga dikatakan mampu menghubungkan masyarakat Iban dengan dunia roh datuk moyang mereka, melindungi mereka daripada penyakit berbahaya dan kuasa jahat," katanya.
Selain pernah menjadi perunding tatu, Ernesto amat terkenal dalam mempamerkan cara membuat tatu Iban secara tradisional di Amerika Syarikat dan Eropah.
Ernesto yang mula berjinak-jinak dalam seni tatu pada 1993 dan memiliki kedai tatu sendiri, Borneo Head Hunters Tatoo Studio di Kuching sejak 1998, berkata peranan tatu dalam kehidupan wanita dan lelaki berbeza.
Menurut lulusan undang-undang dari England ini, selain wanita mencacah badan sebagai perhiasan diri, tatu juga melambangkan kemampuan mereka menjalankan tanggungjawab dan kewajipan sebagai isteri serta kebolehan menari.
INFO
Masyarakat Iban Sarawak amat popular dalam amalan bertatu.
Amalan bertatu bagi Iban dianggap keberanian dan status kedudukan dalam masyarakat.
Antara corak tatu tradisional bagi masyarakat Iban adalah bunga terung, ketam itit (motif gabungan ketam dan naga), renguang (sejenis serangga), kelam ketir dan sebagainya.
Corak tatu pada zaman dulu menggunakan kaedah tradisional iaitu ketuk menggunakan kayu dan jarum manakala zaman moden, kaedah elektrik.