Gambar: theonlinemasjid.com
Mengapa Khutbah Anti-Wanita?
Khutbah Jumaat baru-baru ini dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sekali lagi mengetengahkan wanita sebagai suatu kekejian.
Menurut khutbah tersebut, wanita harus dipersalahkan kerana menyebabkan gejala sosial dan mengundang rogol akibat tidak menutupi “aurat” mereka.
Jawi kemudiannya memperincikan garis panduan pemakaian yang dapat diterima, sekali lagi menunjukkan bagaimana nilai-nilai patriarki telah meresap ke dalam masyarakat moden kita dengan cara yang memualkan.
Sebagai seorang wanita Muslim di Malaysia, saya bersetuju, kedua-dua lelaki dan wanita harus berpakaian sesuai namun apa yang membuatkan khutbah Jumaat lepas begitu tidak beradab adalah cara ia disampaikan.
Diucapkan di hadapan khalayak lelaki, ia tidak langsung menyebut tentang tanggungjawab lelaki untuk menutup aurat, dan oleh itu kita tidak dapat tidak mempersoalkan motif di sebalik khutbah tersebut.
Kekejian Terhadap Wanita Bukan Sebahagian Daripada Islam
Sikap kekejian terhadap wanita yang ditunjukkan ini bukanlah sebahagian daripada nilai-nilai Islam, dan pastinya bukan kepercayaan yang ditegakkan oleh Nabi.
Islam mengajarkan keterangkuman dan kesaksamaan; ia melayani orang lain dengan hormat dan kesopanan.
Nilai-nilai kita bukanlah penghinaan dan pastinya menolak permusuhan sesama manusia.
Jawi dalam khutbah tersebut membandingkan wanita yang tidak menutup aurat seperti “makanan yang terdedah, yang pasti sering dikerumuni lalat, dan membuatkannya tidak menyelerakan”.
Ini berbaur suatu kekejian terhadap wanita dan cauvinisme yang sering disebarkan oleh kumpulan ekstremis seperti Taliban dan ISIS.
Umumnya, asas fundamentalisme jarang sekali menghormati prinsip hak asasi manusia, tidak bertolak ansur terhadap fahaman lain dan sering kali anti-wanita.
Malangnya, masyarakat kita kini menunjukkan tanda-tanda penerimaan ideologi keji sebegitu.
Malaysia & Tanggungjawab Hak Asasi Terhadap Wanita
Mungkin Jawi dengan mudahnya lupa bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
Ini bermakna kerajaan terikat kepada kesemua 30 perkara dalam konvensyen tersebut.
CEDAW ialah rangka tindakan yang menggalakkan hak asasi manusia dan meruntuhkan tembok diskriminasi terhadap wanita.
Perkara 3 menyatakan bagaimana semua “negara mesti mengambil langkah untuk menegakkan kesaksamaan wanita dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan budaya”.
Disebabkan ini, kerajaan Malaysia perlu bertindak menentang sesiapa yang menyebarkan sentimen kekejian dan anti-wanita.
Wanita & Fundamentalisme
Isu hak wanita, status, peranan dan tanggungjawab kita sentiasa menjadi wacana ruji fundamentalis.
Tafsiran pesimistik agama, terutamanya yang membenam dunia Islam sekarang ini adalah hasil sampingan masyarakat patriarki, bertopengkan ajaran agama.
Ia tidak lebih daripada kepercayaan yang ditegakkan oleh kaum lelaki yang kian terancam.
Kepercayaan-kepercayaan begini menyebabkan amalan diskriminasi budaya tertentu seperti pemotongan alat kelamin wanita dan pembunuhan demi maruah sesuatu yang dapat diterima.
Dan walaupun pemakaian sopan – yang selari dengan nilai-nilai budaya kita, merupakan sesuatu yang dapat kita hargai dan terima, terdapat juga cara lain untuk menyampaikan mesej tersebut.
Kita hidup dalam masyarakat yang bertamadun, oleh itu seharusnya mampu untuk mengutarakan mesej dengan sopan, rendah hati dan terutama sekali, dengan cara terpuji.
Tentunya saya bukan keseorangan apabila mengatakan bahawa majoriti umat Islam memahami bahawa isu sebenar ini adalah budaya dan bukan agama.
Ini bukan hanya kebimbangan teori, namun merupakan satu isu yang amat relevan dan memerlukan reformasi segera.
Lagipun, wanita pada asasnya sama dengan lelaki dalam semua aspek kehidupan, dan ini merupakan sesuatu yang Jawi dan setiap orang lelaki di Malaysia harus cuba fahami.