FacebookTwitter
RAMAI kalangan kita kerap melakukan kesilapan penyenggaraan kereta. Paling kerap dilakukan adalah mengambil mudah perkara-perkara yang perlu diberikan keutamaan segera. Sesetengahnya tidaklah menelan kos yang besar, cuma sikap kita yang suka menangguh. Akibatnya, benda yang asalnya murah sahaja, tetapi boleh menelan belanja ribuan ringgit jika kerosakan berlaku. Jangan ambil sambil lewa ok!
1. ABAIKAN AMARAN PERIKSA ENJIN
Banyak kes mendedahkan sikap pemandu yang hanya mengabaikan tanda amaran Periksa Enjin (Check Engine) yang menyala. Alasannya, kereta masih mampu beroperasi secara normal. Tapi ingat, situasi tersebut boleh menyebabkan kereta anda berhenti beroperasi tiba-tiba.
Paling teruk, kos baik pulih menelan belanja besar dan kereta terpaksa bermalam di bengkel berhari-hari lamanya. Semakin lama anda tidak peduli tentang amaran itu, semakin tinggi pula kos yang bakal anda laburkan.
2. TIDAK PERIKSA TEKANAN TAYAR
Ini kesalahan yang biasa dilakukan. Pemandu terlalu bergantung kepada pandangan mata sedangkan hakikatnya tayar kereta mereka kurang tekanan angin. Akibatnya, kereta bergerak dengan penggunaan bahan bakar yang lebih.
Tekanan angin tayar juga boleh berubah disebabkan cuaca luar sama ada sejuk atau panas. Jadi, anda mesti kerap memeriksa tekanan tayar dengan menggunakan tolok tekanan angin yang boleh dibeli di kedai aksesori kereta.
3. TANGGUH TUKAR MINYAK ENJIN
Teknologi bendalir kenderaan berkembang cukup maju seiring kepesatan teknologi automotif. Rata-rata kereta moden hari ini tidak perlu lagi menukar minyak enjin mereka pada setiap 5,000km perbatuan. Ia berita baik buat pemandu dari segi penjimatan kos dan masa penyenggaraan.
Namun, itu bukan bermakna anda boleh sesuka hati menangguh menukar minyak enjin apabila tiba masanya. Minyak enjin juga tidak boleh dibiarkan terlalu lama dalam enjin walaupun kereta anda kurang bergerak. Tukarlah mengikut masa atau perbatuan yang disyorkan.
4. ABAIKAN PERIKSA SISTEM BENDALIR DAN PELINCIR
Ramai salah faham bahawa hanya minyak enjin yang perlu diperiksa dan ditukar. Memang betul minyak enjin paling kritikal penjagaannya, tetapi banyak lagi bendalir lain yang mesti diperiksa, ditukar dan ditambah jika perlu. Minyak brek, minyak gear, penyejuk enjin (coolant) dan minyak stereng kuasa sepatutnya diperiksa dan diservis dari masa ke semasa seperti dimaklumkan pengeluar.
5. DEGIL MEMANDU KETIKA ENJIN PANAS LAMPAU (OVERHEATING)
Tanyalah mana-mana pakar automotif, mereka pasti menyuruh anda menghentikan kenderaan secepat mungkin. Sifat enjin secara semulajadi beroperasi dalam keadaan panas dan memerlukan sistem penyejukan untuk mengelak panas melampau (overheating). Apabila sistem itu gagal (boleh berlaku kepada sesiapa saja), anda perlu berhenti segera. Tiada penyelesaian terbaik melainkan memanggil perkhidmatan trak tunda.
6. TIDAK GUNA PENAPIS DISYORKAN
Penapis udara perlu bersih untuk memastikan enjin bekerja pada tahap optimum. Penapis yang bersih menghalang bendasing daripada memasuki sistem bahan api, enjin dan penyaman udara. Kegagalan menukar penapis menyebabkan komponen kereta cepat rosak selain menjejaskan penggunaan bahan api.
7. ABAIKAN PERIKSA BREK
Anda boleh mengabaikan brek semudah menganggap bunyi berkeriut dari kawasan tayar sebagai bunyi dari kenderaan sebelah. Faktanya, brek adalah antara komponen kereta paling penting. Ini kerana brek kereta yang sudah haus atau tidak berfungsi memberi isyarat hidup anda dan penumpang sudah tidak selamat atas jalan raya.
Jadi jangan abaikan apa saja bunyi yang anda dengar datang dari kawasan tayar kereta. Cepat-cepat ke bengkel untuk diperiksa.
8. TIDAK MEMUTARKAN TAYAR, ABAIKAN PENJAJARAN RODA
Anda masih boleh memandu dengan mengabaikan perkara di atas. Namun kegagalan melakukankannya boleh memendekkan jangka hayat tayar yang akan cepat haus atau rosak berbanding biasa. Situasi boleh jadi lebih buruk kerana boleh menjejaskan sistem pengendalian stereng, brek dan suspensi.
9. BUAT BAIK PULIH SENDIRI TANPA ADA ASAS KEMAHIRAN
Ada sesetengah perkara anda boleh baiki sendiri. Ada pula situasi anda perlu ke bengkel bertauliah kerana banyak komponen kereta hari ini melibatkan tetapan komputer yang memerlukan alatan, pengetahuan dan kelengkapan diagnostik khas. Jangan jadi seperti ‘tikus membaiki labu’.
10. TIDAK TUKAR BILAH PENGELAP
Tahap optimum bilah pengelap cermin akan merosot disebabkan faktor masa dan perlu segera diganti apabila tidak mampu lagi mengelap dengan baik. Misalnya, pandangan hadapan kereta masih tidak jelas ketika memandu dalam cuaca buruk seperti hujan.