Rakaman video memaparkan seorang pekerja hotel di Bali, Indonesia meminta pelangan wanita melakukan ‘blow job’ atau seks oral sebagai ‘syarat’ untuk wangnya dikembalikan tular di laman sosial dan menerima tontonan lebih tiga juta, sejak ia dimuat naik 2 Feb lalu.
Aneta Baker, berasal dari New Zealand memuat naik rakaman berdurasi lebih lapan minit, merakam perbualan bersama lelaki tempatan berkenaan, dalam kejadian yang berlaku pada petang Jumaat, 31 Januari lalu.
Menerusi status panjang yang disertakan bersama gambar pekerja hotel berkenaan, Aneta menjelaskan lelaki itu memintanya melakukan perkara tidak senonoh selepas dia meminta mengembalikan wangnya berikutan berlaku salah faham ketika tempahan bilik hotel.
Difahamkan, Aneta mendakwa dia dan kawan-kawannya tidak menetap di hotel selama satu malam, sebelum tarikh mereka daftar keluar dan memohon untuk pihak hotel memulangkan semula wang tersebut.
Bagaimanapun, pekerja lelaki berkenaan, seperti dipetik di dalam rakaman video menjelaskan proses untuk memulangkan wang kepada Aneta perlu melalui proses yang agak lama, dan kebarangkalian untuk dia mendapatkan semula wang tersebut adalah rendah.
Suspek kemudian bersetuju untuk memberikan semula wang Aneta, tetapi dengan syarat dia perlu memuaskan nafsu lelaki itu dengan melakukan seks oral.
"Dengar apa yang dia kata pada 0:09 saat. Dia nyatakan ‘sesuatu yang tidak senonoh’ dengan perlahan tetapi ia boleh didengar dengan jelas!,” tulisnya.
“Wanita semua kamu tahu jika seseuatu tidak betul dan kamu dibenarkan untuk bersuara!!! Lelaki semua jika kamu mendengar sesuatu (yang tidak betul), pertahankan dia (wanita), bersuara! “Kepada semua saya katakan jadi berani dan berani, kamu (wanita) mempunyai nilai di dunia dan sepatutnya tidak boleh diletakkan dalam situasi ini (gangguan seksual) atau seseorang menawarkan perkara seperti ini kepada kamu,” tambah Aneta, sambil menegaskan bahawa dia percaya, bukan dia seorang yang pernah menjadi mangsa lelaki berkenaan.
Status yang dimuat naik Aneka itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dan antaranya beranggapan kemungkinan berlaku salah faham antara perkataan ‘blow job’ dengan ‘voucer’ memandangkan pekerja hotel berkenaan kurang fasih berbahasa Inggeris
Namun, media Indonesia melaporkan suspek, yang dikenali sebagai ADR, 31, mengaku meminta pelancong wanita itu melakukan seks oral.
Pegawai polis Kuta, Kompol Nyoman Wirajaya berkata, suspek berdepan hukuman penjara 12 tahun kerana mengeluarkan kata-kata lucah terhadap mangsa.
“Untuk sementara suspek tidak ditahan tapi wajib melaporkan diri di balai pada setiap Isnin dan Khamis. Kami telah merampas barang bukti seperti rakaman video, baju, seluar dan sepasang kasut kerja suspek,” katanya seperti dilapor Balipost, kelmarin.
Kompol menambah mangsa mendaftar masuk di hotel berkenaan pada 26 Januari dan mendaftar keluar pada 31 Januari. Dia menuntut semula wangnya berjumlah 350,000 rupiah (RM100.87) kerana tidak menginap di hotel berkenaan selama satu malam iaitu pada 28 Januari.
“Suspek yang merupakan penyelia bahagian tempahan memberitahu mangsa yang wang tidak boleh dikembalikan. Namun sebagai penyelesaian kepada masalah tersebut suspek mengeluarkan kata-kata akan memberikan wang peribadinya dengan syarat mangsa mahu melakukan seks oral,” katanya.
Susulan insiden memalukan itu, pihak hotel berkenaan memaklumkan pekerja lelaki berkenaan telah dipecat.
"Kami kesal dengan kejadian yang menimpa pelanggan kami. Sudah tentu kami tidak dapat menerima kelakuan sebegini dari kakitangan kami. Kakitangan berkenaan tidak lagi bekerja di hotel dan siasatan sedang dijalankan," kata pegawai komunikasi pemasaran dalam satu kenyataan seperti dilapor CNN Indonesia.
- mD
|