CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1162|Reply: 0

Evolusi Benda Hidup Disebut Dalam Al-Qur'an

 Close [Copy link]
Post time 7-8-2018 05:51 AM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by mays_lurdab at 16-8-2018 02:09 AM

Pada masa kini, ramai yang menganggap Al-Qur'an sudah tidak relevan dengan peredaran zaman. Terdapat segelintir pihak terutamanya yang bukan Islam cuba meyakinkan bahawa Al-Qur'an itu bukanlah ayat-ayat daripada Tuhan,  tetapi ciptaan Nabi Muhammad sahaja. Mereka cuba mempengaruhi pemikiran manusia terutama orang Islam dengan penemuan-penemuan saintifik terkini supaya turut menyokong pandangan mereka yang sekular. Tidak percaya dengan peranan Tuhan sebagai Pencipta yang Maha Agung. Tujuan mereka hanya ingin manusia semakin jauh daripada kepercayaan bahawa terdapatnya suatu agama yang lurus yang diturunkan oleh Tuhan sebagai panduan kepada manusia sejak daripada Nabi Adam A.S. sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W yang pada ketika ini dikenali sebagai konsep Prisca Theologia.

Pada pendapat penulis,  pada masa kini tiada kitab atau rujukan yang lebih dekat dengan konsep ini selain Al-Qur'an dan kepada sesiapa sama ada orang Islam mahu pun yang bukan Islam yang inginkan kepada jalan hidup yang lurus menuju kepada Tuhan sekurang-kurangnya adalah dengan mengetahui terjemahan Al-Qur'an, sebelum mengkajinya dengan lebih mendalam.  

Bagi menguatkan keinginan untuk mendekati Al-Qur'an, pendekatan terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan membuktikan bahawa Al-Qur'an itu selari dengan penemuan-penemuan saintifik terkini. Salah satunya adalah berkaitan dengan proses permulaan kejadian benda hidup di atas muka bumi ini.

Sememangnya secara saintifik jika kita ingin menerangkan tentang kejadian tentang permulaan kejadian benda hidup,  tidak dapat tidak kita perlu mengaitkannya dengan teori evolusi yang secara terang-terangan bercanggah dengan Al-Qur'an. Namun jika diteliti secara terperinci, perbezaan teori evolusi dengan Al-Qur'an hanya pada proses penciptaan manusia. Menurut Al-Qur'an,  proses penciptaan manusia adalah daripada tanah manakala benda hidup yang lain adalah daripada air. Perbincangan tentang kejadian manusia telah penulis muatkan dalam entri yang lain, sila rujuk (Proses Kejadian Manusia Pertama: Keselarian antara Al-Qur'an dan Penemuan Sains).

Kebanyakan saintis yang mengkaji asal usul benda hidup berpendapat, asal usul benda hidup adalah daripada bahan-bahan yang tidak hidup seperti Hidrogen sulfida (H2S) dan Hidrogen sianida (HCN) yang larut dalam air.  Satu kajian yang diketuai oleh Profesor John Sutherland dan telah dilaporkan dalam jurnal Nature Chemistry pada tahun 2015 membuktikan bahawa kedua-dua bahan kimia yang tersebut mampu menghasilkan tiga jenis biomolekul utama bagi pembentukan benda hidup iaitu asid nukleik, asid amino dan lipid dengan kehadiran cahaya ultraungu. Ketiadaan gas oksigen di bumi pada ketika itu menyebabkan lapisan ozon tidak wujud untuk menghalang cahaya ultraungu yang sampai ke bumi. Oleh itu peratusan cahaya ultraungu yang tinggi ini membantu pembentukan biomolekul asas tadi dalam kuantiti yang signifikan sebelum larut dalam air. Satu petikan daripada buku ‘A New History of Life (2015)’ karangan Profesor Peter Ward dan Profesor Joseph Kirshvink menjelaskan tentang kepentingan air bagi pembentukan benda hidup seperti yang di bawah:-

Of all the molecules making up Earth life, perhaps none is more important than water, and water in a single phase: it has to be liquid water, and not ice or water vapor (a gas). Earth life is composed of molecules bathed in liquid, and while the number of molecules that can be found in life is staggeringly large, in fact there are only four main kinds of molecules used by Earth life: lipids, carbohydrates, nucleic acids, and proteins. All of these are either bathed in liquid, in this case water with salt in it, or serve as an outer wall to contain the other molecules and water.

Perenggan di atas adalah selari dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang menjelaskan tentang asal-usul pembentukan benda hidup daripada benda yang mati (sila rujuk ayat Al-Qur'an di permulaan penulisan ini) dan juga kehadiran air iaitu ayat daripada surah Al-Anbiya ayat ke 30.

QS (Al-Anbiya)
21:30 Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi keduanya dahulu menyatu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya; dan kami jàdikan segala sesuatu yang hidup daripada air; maka mengapa mereka tidak beriman?


Walaupun tidak dinyatakan dalam Al-Qur'an tentang bahan-bahan kimia yang terlibat dalam pembentukan benda hidup terawal, namun telah kita sedia maklum pelbagai bahan kimia dapat larut dengan mudah dalam medium air. Selain itu, jika kita ambil secawan air daripada sungai dan dilihat daripada dekat, maka dapat diperhatikan air sungai itu jernih (walaupun agak kekuningan jika dibandingkan dengan air paip kerana tercampur dengan zat daripada tanah). Walaupun begitu, jika air sungai tersebut dilakukan analisis makmal, maka akan tertera pelbagai jenis bahan kimia atau mineral yang terkandung di dalamnya. Sama juga keadaannya dengan bahan kimia terlarut untuk pembentukan benda hidup yang terawal ini.

Semua biomolekul asas yang larut dalam air ini akan mengalir melalui sungai-sungai kecil yang seterusnya berkumpul dalam suatu takungan. Melalui proses penyejatan dan kehadiran cahaya ultraungu, bahan-bahan yang larut tadi akan memekat membolehkan berlakunya tindakbalas membentuk biomolekul-biomolekul yang lebih kompleks. Kewujudan biomolekul-biomolekul asas dan kompleks seperti nukleotida, lipid dan asid amino yang banyak dalam persekitaran seterusnya akan membantu pembentukan satu benda hidup ringkas. Kejadian lopak air yang kaya dengan segala jenis biomolekul untuk pembentukan benda hidup terawal pernah diusulkan suatu ketika dahulu oleh Charles Darwin yang beliau istilahkan sebagai ‘primordial soup’.

Antara biomolekul penting yang terlibat dalam pembentukan benda hidup terawal adalah asid nukleik yang membentuk bahan genetik sesuatu benda hidup. Fungsi utama bahan genetik adalah sebagai pelan asas atau "blueprint" binaan tubuh badan sesuatu benda hidup. Oleh itu kebanyakan saintis percaya, proses pembentukan benda hidup pertama bermula dengan pembentukan bahan genetik. Secara mudah, umpama kod binari dalam sistem digital yang menggunakan kod nombor 0 dan 1, rantaian bahan genetik (sebagai contoh "Ribonucleic Acid" atau singkatannya RNA) menggunakan 4 kod nukleotida yang dikenali sebagai A (singkatan untuk nukleotida yang dinamakan "Adenine"), G (singkatan untuk nukleotida yang dinamakan "Guanine"), U (singkatan untuk nukleotida yang dinamakan "Uracil") manakala C (singkatan untuk nukleotida yang dinamakan "Cytosine"). Rantaian kod-kod nukleotida ini pula akan mengekodkan asid amino iaitu unit asas protin yang membina kebanyakan struktur tubuh benda hidup. Misteri pembentukan kod-kod genetik sesuatu protin yang kebanyakannya sangat panjang ini masih belum dapat dirungkai oleh para saintis sehingga kini. Sebagai seorang muslim, cukuplah hanya dengan percaya bahawa proses evolusi adalah suatu proses penyebab kejadian awal sesuatu benda hidup. Pada masa yang sama percaya dengan wujudnya satu kuasa yang mengawal pembentukan kod-kod genetik tersebut. Dialah ALLAH yang memberikan bentuk kejadian kepada semua benda hidup dengan menentukan kod-kod genetik dan memberi petunjuk (melalui proses alamiah) sehingga terbentuknya struktur tubuh sesuatu benda hidup. Berpadanan dengan jawapan Nabi Musa kepada soalan Fir'aun yang dirakam dalam Al-Qur'an seperti dalam ayat yang berikut:-
QS: (Thaha)
20:49 Dia (Fir'aun) berkata, "Siapakah Tuhanmu berdua, wahai Musa?"
20:50 Dia (Musa) menjawab, "Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan bentuk kejadian kepada segala sesuatu, kemudian memberinya petunjuk."

Beberapa jenis asid nukleik wujud dalam dunia ini mengikut kandungan gula yang membentuk struktur molekulnya dan salah satu asid nukleik yang penting dalam pembentukan benda hidup terawal adalah RNA. RNA adalah suatu molekul yang sangat istimewa kerana mempunyai pelbagai fungsi dalam pembentukan benda hidup. Selain mampu mengekodkan maklumat genetik, ia juga dapat bertindak seperti enzim yang mempercepat sesuatu tindakbalas. Namun begitu, untuk menjadi pemangkin tindakbalas, RNA perlu mengandungi sekurang-kurangnya 30 nukleotida untuk menyediakan tapak-tapak aktif (active sites) sebagaimana sesuatu enzim dapat berfungsi. Bagaimana RNA mampu membentuk rantaian nukleotida tanpa kehadiran sebarang enzim semasa ia mula-mula terbentuk? Menurut kajian Profesor Jack Szostak bersama kumpulan penyelidikannya, tanah liat (daripada jenis Montmorillonite) adalah bahan semula jadi yang mampu membantu pemanjangan rantaian RNA secara semulajadi. Cara bagaimana tanah liat ini mampu membantu proses pemanjangan nukleotida adalah seperti yang diterangkan di bawah:-

Getting RNA strands at least thirty nucleotides long somewhere on (or in) the early Earth perhaps required clay to serve as a template. The clay mineral montmorillonite seems the most favorable. According to this hypothesis, single nucleotides, floating in liquid, bumped into the clay. They became weakly bonded to the clay and held in place. On some parts of the clay mineral, chains of thirty nucleotides or more were produced. As they were only weakly bonded, they were easily detached, and if there were some sort of concentration of these strands that then became engulfed in a small bubble of lipid-rich liquid, much like a soap bubble, there would have been the makings of a first protocell.

Melalui penyelidikan yang lain pula, kumpulan penyelidikan yang sama ini juga telah menemui cara pembentukan proto sel. Proto sel ini mengandungi RNA yang dilingkungi oleh membran lipid membentuk struktur sepertimana sel namun belum mampu hidup atau membiak. Membran lipid yang terbentuk pula bukan seperti membran sel organisma maju, tetapi bersifat sangat dinamik yang mampu membenarkan pertukaran dan pemanjangan RNA daripada proto sel- proto sel yang lain apabila berlaku kocakan atau goncangan. Melalui cara ini, pemanjangan RNA dan pembesaran membran lipid dapat berlaku secara berterusan menyebabkan rantaian RNA proto sel dapat memanjang dan membran lipid dapat membesar menghasilkan proto sel yang lebih besar dan kompleks. Selain itu juga daripada pemerhatian, mereka juga mendapati, proto sel yang lebih besar akan menjadi lebih stabil dan mampu wujud lebih lama berbanding proto sel yang lebih kecil. Maka dengan itu proses perkembangan proto sel ini berterusan sehingga satu sel asas yang mampu hidup sendiri terbentuk.

Proses tersebut berterusan sehingga proto sel yang stabil tersebut mempunyai membran sel yang tidak lagi dinamik. Proto sel tadi akan mempunyai membran sel yang kekal dan mempunyai identitinya sendiri sebagaimana spesies bakteria masa kini. Peringkat inilah yang dinamakan "Darwinian Threshold" iaitu proses Pemilihan Semulajadi (Natural Selection) yang disebut dalam teori Darwin mula berlaku. Melalui proses ini, sesuatu spesies benda hidup mula menjadi maju dengan spesies yang lebih kuat atau stabil akan menyesarkan spesies yang lemah dan sehingga pada suatu tempoh masa, hanya spesies yang lebih kuat dan stabil akan mendominasi dan sesuatu benda hidup itu akan mencapai kesempurnaan sesuai dengan ayat Al-Qur'an:-

QS: (Al-A'la)
87:1 Yang menciptakan, lalu menyempurnakan (penciptaan-Nya).
87:2 Yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk.

Proses sesuatu benda hidup berubah secara beransur-ansur untuk menjadi hidupan yang lebih sempurna ini dikenali sebagai "evolusi".  

Oleh itu proses kejadian benda hidup terawal yang berasal daripada air adalah selari dengan ayat-ayat Al-Qur'an yang dinyatakan di atas tadi. Jika proses evolusi ini melibatkan kejadian semua haiwan sehingga ke peringkat manusia purba  sahaja seperti Homo habilis, Homo erectus, Homo naledi dan Homo neanderthalensis  (dan bukan manusia moden) , maka ia selari sepenuhnya dengan Al-Qur'an.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-2-2025 09:09 PM GMT+8 , Processed in 0.065801 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list