CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 861|Reply: 0

Cerewet Tapi Bertempat - Harian Metro

[Copy link]
Post time 25-12-2020 08:02 AM | Show all posts |Read mode

Shahrul Nizam di hadapan kediamannya yang dibeli dua tahun lalu.


Muhamaad Razis Ismail
[email protected]

"JANGAN beli rumah sekadar tangkap muat," demikian nasihat penolong jurutera, Shahrul Nizam

Baslan, 36, kepada bakal pembeli rumah pertama.

Shahrul Nizam yang berasal dari Felda Keratong 10, Pahang itu dilihat cukup teliti dalam membuat pemilihan kediaman pertama yang sesuai.

Nampak agak cerewet, namun baginya, proses memiliki kediaman tidak boleh diambil ringan dan memerlukan kajian mendalam membabitkan segala aspek.

Shahrul Nizam berkata, rumah adalah aset yang bukan murah dan kajian teliti perlu dilakukan untuk mengelakkan menyesal di kemudian hari.

"Jangan tangkap muat membeli rumah kerana ia tidak seperti membeli ikan di pasar, tunjuk ikan itu, tunjuk ikan ini. Ini adalah aset yang bukan murah.

"Buat kajian lokasi (geologi kawasan), sejarah projek pemaju (buka laman web syarikat), kemudahan sedia ada dan pembangunan kawasan sekitar di masa akan datang untuk memastikan rumah yang dibeli berbaloi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dia mempraktikkan perkara ini sebelum membuat keputusan membeli sebuah rumah banglo setingkat di Taman Raia Kemasik, Batu Gajah, Perak dengan RM398,888, dua tahun lalu.

"Sejak tahun 2015, saya sudah mencari kediaman sesuai selain pernah membuat tempahan awal dengan bayaran deposit RM500 untuk memiliki rumah teres setingkat. Namun saya batalkan kerana tidak menepati kriteria diperlukan. Mujurlah deposit dipulangkan.

"Kemudian, ketika dalam perjalanan ke pasar, saya terlihat papan iklan mengenai sebuah projek perumahan yang menarik minat saya untuk melihat rumah contoh.

"Selepas penelitian mendalam dibuat, saya buat keputusan untuk pembelian rumah yang memiliki empat bilik tidur dengan keluasan 1,870 kaki persegi itu," katanya.

Bapa kepada dua anak ini berkata, terdapat beberapa kriteria yang dipertimbangkan sebelum dia dan isteri, Nurul Huda Anuwar memutuskan pembelian kediaman itu. Antaranyaperlu berdekatan dengan masjid.

"Saya juga ambil kira kedudukan matahari terbit dan terbenam untuk berikan lebih keselesaan kepada kami sekeluarga. Pada masa sama, saya menitikberatkan kualiti bahan binaan digunakan untuk jangka hayat (bahan) lebih lama.

"Malah saya juga tidak membeli rumah bertingkat kerana memikirkan kekangan kesihatan yang bakal dihadapi ketika sudah berusia," katanya.

Selain itu, dia menggunakan pengetahuan dimiliki dalam bidang kejuruteraan membuat kajian terhadap lokasi rumah yang bukan di kawasan tanah tambak, bekas lombong dan kawasan banjir.

"Geologi seperti ini akan mempengaruhi struktur utama rumah suatu masa nanti jika pemaju tidak melaksanakan kerja dengan betul.

"Contohnya jika tanah tambak, rumah akan mendap sekiranya kerja tambakan tidak dibuat mengikut garis panduan. Cara lain boleh guna aplikasi Google Earth atau Google Maps untuk melihat kawasan sekitar dari atas lokasi itu," katanya.

Dia merasakan pembelian kediaman ini sangat berbaloi kerana lokasi yang strategik berikutan terletak di tengah-tengah pekan Gopeng, Kampar, Batu Gajah dan juga Bandaraya Ipoh

"Kawasan berdekatan rumah menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa termasuk bangunan bersejarah Istana Kellie, Taman Herba Negeri Perak, Kapal Korek Bijih Timah Tanjung Tualang, Gaharu Tea Valley dan banyak lagi.

"Kemudahan lain seperti berhampiran dengan sekolah, pasar raya, kawasan perindustrian, jaringan akses ke lebuh raya dan jalan bandaran yang mudah dan jalan utama bersebelahan rumah diterangi lampu jalan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Shahrul Nizam mahu tampilkan ciri-ciri bangunan hijau untuk kediamannya itu.

"Ia termasuk penggunaan sistem solar PV (boleh jimatkan bil elektrik), pembelian kelengkapan dan peralatan elektrik yang cekap tenaga dengan adanya penarafan cekap tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga.

"Kerja-kerja naik taraf atau renovasi pula menggunakan bahan-bahan diiktiraf dan tidak memberi kesan kepada pembebasan karbon yang tinggi.

"Rumah sedia ada sudah ada pemasangan 'rain water harvesting' di mana air hujan dari bumbung rumah dialirkan masuk ke dalam takungan yang terletak di belakang rumah. Airnya saya gunakan untuk menyiram pokok bunga dan membersihkan longkang (penjimatan air terawat & bil air)," katanya.

Malah dia turut menasihatkan orang ramai terutama golongan muda supaya jangan bertangguh untuk membeli rumah jika sudah menepati kriteria yang dicari dan tiada bebanan kewangan.

"Bagaimanapun perlu ukur baju di badan sendiri, jangan terikut-ikut rakan lain yang membeli rumah mahal mungkin mereka mempunyai pendapatan lebih apatah lagi setiap orang punyai komitmen berbeza," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-1-2025 04:05 PM GMT+8 , Processed in 0.295595 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list