Edited by Aking at 14-1-2021 12:48 PM
Kapal pengangkut etana berskala besar (VLEC) kedua MISC Bhd, Seri Erlang - Foto ihsan MISC
Berita Harian
Mohd Zaky Zainuddin
[email protected]
KUALA LUMPUR: MISC Bhd (MISC) menerima Seri Erlang, kapal pengangkut etana berskala besar (VLEC) kedua di limbungan kapal Samsung Heavy Industries (SHI), Geoje, Korea Selatan.
Dibeli oleh MISC pada Julai 2020, kapal VLEC menjadi pembelian kedua daripada enam VLEC, aset yang dibina khas untuk sewaan jangka panjang kepada Zhejiang Satellite Petrochemical Co Ltd (STL).
Seri Erlang akan menyertai kapal pertama dikenali Seri Everest untuk mengangkut etana dari Amerika Syarikat ke China bagi menyokong kemudahan etana STL di China.
Kedua-dua VLEC akan diuruskan unit pengurusan kapal MISC, Eaglestar Shipmanagement Gas (S) Pte Ltd.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Yee Yang Chien, berkata penerimaan Seri Erlang menjadi permulaan positif awal 2021.
"Kejayaan ini berlandaskan strategi kami untuk menyokong keperluan pasaran etana. Kami menantikan penghantaran empat lagi VLEC pada tahun ini.
"Bermula 2021, kami kekal positif dengan perkembangan industri dan peluang lebih banyak di Asia yang mana kini menjadi pusat permintaan penting bagi pasaran etana," katanya. |