Kisah seorang influencer Indonesia tular di media sosial selepas dikatakan 'menjaja' kisah kematian bapanya untuk dijadikan content di YouTube bagi meraih tontonan tinggi.
Selebriti media sosial berkenaan, Ria Ricis dipercayai berada di Flores ketika mendapat perkhabaran bapanya dijemput Ilahi.
Sebaik mendengar berita memilukan itu, dia bergegas pulang ke Jakarta untuk melihat arwah bapanya buat kali terakhir. Sejurus tiba, Ria dikatakan terus ke tempat pengebumian bapanya itu.
Momen sedih berkenaan sempat direkod kumpulannya sebelum dimuat naik ke YouTube.
Lebih mengejutkan, content berkenaan turut diselitkan paparan iklan yang begitu banyak seperti ingin meraih pendapatan melalui iklan berkenaan.
Baru sehari Allahyarham meninggal dunia, Ria memuat naik tiga video di platform berkenaan dan kesemuanya berkaitan kematian bapanya. Belum genap seminggu bapanya meninggal dunia, Ria sudah sembilan video dimuat naiknya.
Menerusi video yang dimuat naik terutama ketika di kubur, beberapa lensa kamera tertumpu ke arah Ria.
Malangnya, netizen mengatakan bahawa perbuatannya merakam kematian bapanya seolah-olah ‘menjual’ kisah bapanya demi content.
Walaupun menghujani Ria dengan kecaman, namun mereka tetap mendoakan Allahyarham bapanya tenang di alam sana.