Kuala Terengganu: Ibu pelari pecut wanita negara, Khadijah Ali, 60 mendoakan anaknya, Azreen Nabila Alias, 21 yang bakal turun ke gelanggang dalam acara pecut 100 meter (m) esok mampu melakukan kejutan pada penampilan sulungnya dalam temasya Sukan Olimpik 2020 yang berlangsung di Tokyo, Jepun. Walaupun tidak diletakkan harapan yang tinggi, Khadijah turut berdoa anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu mampu memecah rekod kebangsaan sejak 28 tahun lalu milik bekas pelari pecut negara, G Shanti yang melakukan catatan masa 11.50 saat ketika Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993. Bagaimanapun Khadijah yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan Azreen sedar bukan tugas mudah buat anaknya itu untuk menyaingi pelari terbaik dunia lebih-lebih lagi fizikalnya yang kecil dengan ketinggian 1.55 m. "Makcik sedar bukan tugas mudah buat Azreen untuk menyaingi pelari handalan dunia lebih-lebih lagi dengan fizikalnya yang kecil selain penampilan pertamanya dalam sukan terbesar dunia itu, sudah tentu tiada pengalaman. "Tapi apa-apapun boleh berlaku, jika rezekinya sudah tertulis, jadi besar harapan Makcik mengharapkan Azreen mampu merakam catatan terbaik berbanding sebelumnya. "Malah Makcik tidak putus-putus berdoa agar dia (Azreen) yang berstatus anak yatim selepas bapanya meninggal dunia pada 2014 mampu memecah rekod kebangsaan, ini Makcik dan keluarga nak lihat begitu juga seluruh peminat negara. "Lagipun pengumuman dia dapat beraksi di Sukan Olimpik itu jatuh pada tarikh hari kelahirannya pada 29 Jun lalu, harap tuah juga mengiringinya apabila turun ke gelanggang esok," kata Khadijah ketika dihubungi Sukan NSTP. Mengulas lanjut, Khadijah bagaimanapun mengharapkan anaknya itu tidak berputus asa sekiranya gagal beraksi dalam pusingan akhir acara kegemarannya itu selain perlu melihat daripada sudut positif untuk peningkatan prestasi. "Sudah terpilih ke temasya sukan terbesar itu sudah begitu gembira walaupun kali terakhir bertemu dengannya pada hari kedua puasa Mei lalu, jadi Makcik minta Azreen usah putus asa sebaliknya terima dengan apa jua keputusan dan pada masa sama perlu kuat lagi berlatih," katanya yang mula mengesan bakat anaknya itu sejak kecil lagi kerana kerap berlari di dalam rumah. Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi layak beraksi di Sukan Olimpik itu selepas mendapat tiket wild card atau peluang khas. Pemegang rekod Sukan Malaysia (Sukma) dengan catatan masa 11.81 saat itu yang dilakukan ketika Sukma 2018 di Perak menjadikan pelari Amerika Syarikat, Allyson Felix sebagai idolanya. sumber : HMetro
|