View: 3486|Reply: 0
|
1,001 misteri laluan zaman purba
[Copy link]
|
|
1,001 misteri laluan zaman purba
Struktur seperti tangga yang ditemui di laluan dipercayai sudah wujud lebih 100 tahun dalam gua di Gunung Lanno, Simpang Pulai, Ipoh. - Foto GEONAT
PERJALANAN ke Ipoh, Perak melalui Simpang Pulai, pasti mata terpukau serta kagum apabila melihat suasana alam sekitar dengan panorama indah dan unik bukit batu kapur berdiri megah.
Di sebalik semua khazanah muka bumi itu itu, tersimpan 'monumen' lama yang belum terungkai, termasuk penemuan laluan dipercayai wujud lebih 100 tahun lalu yang menghubungkan dua kampung di kawasan selatan Gunung Lanno, Simpang Pulai.
Laluan yang mempunyai keunikan tersendiri itu ditemui dalam gua di kawasan berkenaan dan ia dipercayai digunakan penduduk pada zaman itu.
Mengikut Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT), Mohd Fadly Md Noor, laluan itu dipercayai digunakan bagi menghubungkan dua perkampungan, iaitu Teluk Kangor dan Serba Jadi ketika zaman Propaganda British di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Pertama.
Bagaimanapun, hampir keseluruhan lokasi itu kini menjadi kawasan perindustrian.
"Uniknya ia adalah laluan dalam gunung gua batu kapur merentasi Gunung Lanno.
"Kami percaya ia adalah laluan yang aktif pada suatu masa dahulu hingga direkodkan sebagai laluan bagi merentasi banjaran Gunung Lanno," katanya.
Kolam air berbentuk 'H'
Mohd Fadly berkata, tidak dapat dijangka siapa pengguna utama laluan berkenaan, namun laluan itu ada dalam pemetaan lama pada 1916.
Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor ketika meninjau laluan yang dipercayai sudah wujud lebih 100 tahun dalam gua di Gunung Lanno, Simpang Pulai, Ipoh. - Foto GEONAT
Keadaan laluan dalam Gua di Gunung Lanno, Simpang Pulai, Ipoh yang dipercayai sudah wujud lebih 100 tahun. - Foto GEONAT
Berdasarkan tinjauan dilakukan pasukannya, mereka menemui beberapa 'tanda' yang boleh dikaitkan dengan laluan itu seperti terowong panjang, struktur batu berbentuk tangga dan serpihan dipercayai tembikar lama.
Selain itu, mereka turut menemui kolam air berbentuk 'H' yang unik mengalir dari kawasan bukit.
"Kalau dilihat dari struktur laluan pintu masuk gua dan pembentukan susur ia adalah laluan atau terowong kering dahulu, namun ia sudah dimasuki air yang memenuhi ruang laluan dan ada sebahagian struktur tangga masih wujud untuk ke bahagian yang boleh dilihat di dalam laluan itu.
"Struktur seperti tangga itu dipercayai tangga akhir dan bahagian atas dipercayai sudah banyak terjejas atau runtuh, malah kita tidak menolak jika gua itu digunakan sebagai laluan dengan bukti terakhir adalah tangga yang belum terjejas itu," katanya.
Laluan menjangkau usia 105 tahun
Beliau sebelum ini memasuki ke gua terbabit dengan pasukannya yang lengkap dengan kemahiran masing-masing.
Pada masa ini, untuk penilaian usia laluan berkenaan yang dirujuk pada sebuah peta, pihaknya tidak menolak jika ia sudah menjangkaui usia 105 tahun.
Peta lama menunjukkan kedudukan Gunung Lanno dipercayai mempunyai laluan menghubungkan dua kampung.
Katanya, ia berdasarkan tahun terakhir tinjauan untuk pemetaan itu dilengkapkan, di mana usia sebenar laluan berkenaan pasti lebih daripada usia yang direkodkan di dalam peta berkenaan.
"Untuk ke laluan itu perlu masuk ke dalam gua dan perlu meredah air dari pintu gua untuk sampai ke tangga dengan kedalaman minimum empat meter dan perlu melalui kawasan hingga sejauh 50 meter.
"Tetapi kalau musim hujan ia akan menjadi lebih dalam. Kedalaman kawasan juga tidak sekata. Untuk masuk ke situ juga perlu melihat keadaan cuaca dan memastikan kelengkapan keselamatan yang mencukupi.
"Kami mempunyai pasukan seperti pasukan tali, penyelam, teknikal, aktiviti air dan perubatan, malah sentiasa memakai jaket keselamatan," katanya.
Kajian terperinci perlu dilakukan
Bercerita lanjut, Mohd Fadly berkata, laluan itu dimaklumkan oleh komuniti setempat kepada pihaknya pada November tahun lalu sebelum mereka menjejaki dan melakukan pemeriksaan persekitaran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, mereka kemudiannya masuk ke gua berkenaan pada Mac lalu bersama pasukan untuk melihat laluan itu dengan lebih dekat.
"Kami tidak membuat kajian saintifik atau kajian khas sebaliknya hanya melakukan kajian secara umum dengan ahli persatuan sepenuhnya tanpa pembabitan pengkaji sejarah dari mana-mana pihak.
"Kami melaksanakan makluman mengenai kesedaran komuniti dan membuat pendedahan umum untuk perhatian pihak berwajib.
"Justeru, kami sangat berharap penemuan laluan itu dapat dikaji secara terperinci oleh mana-mana pihak berkaitan supaya mendapat maklumat lebih tepat dan mengumpul bukti mengenainya. Jadi ia sangat perlu dilakukan kajian lanjut," katanya.
Jadikan ia sebagai pusat penyelidikan
Mohd Fadly berharap setiap kawasan bersejarah atau berpotensi menjadi sejarah perlu melaksanakan Heritage Impact Assesment (HIA) kerana dikhuatiri akan kehilangan banyak pembuktian dan nilai sejarah.
Persekitaran di Gunung Lanno. - Foto GEONAT
Bagaimanapun, untuk menjadikan sesuatu tapak berkenaan sebagai pusat konservasi atau penyelidikan, ia bergantung kepada inisiatif pihak berkuasa dan berkaitan melihat perkara itu.
"Sebelum sesuatu tapak dinilai untuk kegunaan industri contoh pelancongan, laporan keselamatan dan pemetaan penuh perlu dilakukan.
"Buat masa ini tiada penilaian daripada pakar atau kajian lanjutan dilakukan berikutan pandemik COVID-19.
"Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak. Selain itu, kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk kajian laluan berkenaan," katanya.
Gunung batu kapur
Yang pasti, kawasan berkenaan berpotensi dimajukan menjadi pusat konservasi dan sesuai dijadikan lokasi aktiviti seperti berkayak atau lokasi pelancongan kerana terdapat kolam sedalam kira-kira dua meter, berkeluasan 4,000 meter persegi.
Daerah Kinta mempunyai lebih 30 gunung batu kapur dan salah satunya adalah Gunung Lanno.
Ditambah pula dengan kewujudan gunung batu kapur berwarna putih kekelabuan yang menjadi sarang sang kelawar dan burung itu menyimpan 1001 misteri.
Daerah Kinta mempunyai lebih 30 gunung batu kapur dan salah satunya adalah Gunung Lanno. Ia antara gunung terbesar di Lembah Kinta yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter dan berusia lebih 330 juta tahun.
Istimewanya, gunung berkenaan memiliki lebih 30 gua batu kapur yang cantik dan unik, namun kini ia dikatakan kian terancam apabila kebanyakan kawasan menjadi kawasan perindustrian kuari.
Namun, dengan pelbagai keunikannya boleh menarik minat penggemar aktiviti lasak dan air terutama berkayak sambil meneroka rahsia alam semula jadi.
Info Gunung Lanno
• Antara gunung terbesar di Lembah Kinta, Perak.
• Memiliki 36 gua batu kapur yang cantik dan unik
Serpihan dipercayai tembikar yang ditemui di laluan berkenaan.
Keadaan laluan dalam Gua di Gunung Lanno. - Foto GEONAT
Sumber:https://www.bharian.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|