Gambar hiasan. - Foto Google
KUANTAN: Kerajaan negeri akan mempercepatkan proses vaksinasi di Pulau Tioman, bagi memastikan 80 peratus penduduk di pulau peranginan itu mencapai imuniti kelompok.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar,
Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata apabila status imuniti kelompok dicapai di Pulau Tioman, gelembung pelancongan dapat dilaksanakan di pulau peranginan itu.
Katanya, pembukaan industri pelancongan akan dapat mengimbangi kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan.
"Ia selaras pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini supaya lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasi secara besar-besaran.
"Langkah proaktif ini (gelembung pelancongan) dilihat membantu negara luar seperti Australia dan New Zealand yang berjaya mengembangkan sektor pelancongan serta ekonomi antaranya membabitkan pengangkutan, penginapan dan makanan.
"Ia bertepatan strategi utama pelancongan iaitu mengembalikan semula keyakinan rakyat untuk melancong sekali gus dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam melaksanakan gelembung pelancongan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai kriteria ditetapkan antaranya pelancong yang ingin melancong sudah mengambil suntikan vaksin dan perlu melakukan ujian calitan.
Katanya, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilaksanakan demi memastikan tidak berlaku penularan wabak pandemik COVID-19 ketika aktiviti gelembung pelancongan dilaksanakan.
"Kita percaya apabila imuniti kelompok ini berjaya dicapai, bukan sahaja Pulau Tioman, malah lokasi pelancongan lain seperti Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Cameron Highlands dan Genting Highlands serta Bukit Fraser kembali dibuka," katanya.
Bagi memastikan imuniti kelompok itu dicapai, beliau berkata, kerajaan Pusat diminta mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
"Kita tidak boleh tunggu sehingga Ogos atau hujung tahun ini untuk mendapatkan imuniti kelompok.
"Segala perancangan vaksinasi sedia ada perlu diubah dan dilipat gandakan usahanya. Kita perlu mencapai imuniti kelompok jauh lebih cepat.
"Hanya dengan cara itu, aktiviti gelembung pelancongan dapat diperluaskan bukan sahaja di Pahang malah seluruh negara demi memulihkan dan merancakkan kembali sektor pelancongan negara," katanya.
Sebelum ini, Nancy berkata, kementerian itu menggariskan tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan bagi mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara dan seterusnya menjayakan Program COVID-19 Free Destination.
Fasa pertama pelan pemulihan itu menyaksikan Pulau Langkawi dan Kuching, Sarawak dicadang sebagai destinasi rintis Program COVID-19 Free Destination manaka fasa kedua, program itu akan diperluaskan ke pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.
Fasa ketiga akan membabitkan sesi libat urus dengan semua kerajaan negeri berhubung penentuan destinasi pelancongan utama untuk diketengahkan sebagai lokasi yang akan diberikan perhatian.