|
Tip memilih bantal kusyen
Pemilihan bahan
Cuba pegang dan ramas. Bantal yang baik akan terasa ringan, melentur, lebih kenyal dan lembut.
Bantal yang kurang baik biasanya lebih kasar, agak kaku dan tidak terasa kekenyalannya.
Umumnya bahan pengisi bantal disarankan untuk tidak dicuci. Disyorkan agar bantal dijemur agar dapat mengembang seperti bentuk semula.
Perawatan bahan
Penggunaan pelindung fabrik (fabric protector) berbentuk spray yang terdapat banyak dalam pasaran dapat membantu melindung bahan daripada kotor.
Hindari daripada terkena tumpahan air atau lain cecair dan sekiranya berlaku hendaklah cepat dibasuh dan seterusnya dikeringkan.
Kusyen hendaklah dijemur sesekali dan sarungnya hendaklah dibuka agar warna sarung itu tidak pudar.
Ukuran bantal kusyen
Kusyen kerusi: Saiz ukuran yang dicadangkan adalah 40smx40sm, 45smx45sm, 50sm50sm.
Kusyen lantai: Saiz ukuran yang dicadangkan adalah 70smx70sm, 90smx90sm.
Bantal kusyen: Saiz yang dicadangkan dan sesuai adalah 25smx45sm, 30smx40sm dan lainnya |
|
|
|
|
|
|
|
Tip memilih meja kopi dan meja sisi
# Guna cermin sebagai lapisan atas bagi melindungi permukaan meja dari calar sekiranya bahan yang digunakan daripada kayu. Pastikan cermin itu tahan hentakan.
# Cari reka bentuk meja kopi dan meja sisi yang mempunyai kestabilan. Elak memilih reka bentuk berkaki satu yang dikhuatiri kurang stabil.
# Tentukan saiz ruang meja kopi bakal ditempatkan bagi mengelakkan pemilihan ukuran meja kopi terlalu besar dan menghalang pergerakan.
# Elak memilih meja berbucu tajam sekiranya berbentuk empat segi bagi mengelakkan kecederaan kepada kanak-kanak. Meja berbentuk bulat adalah selamat dan mudah disesuaikan dengan semua arah dan sudut.
# Jangan meletak terlalu banyak perhiasan pada meja kopi dan meja sisi hingga menyebabkan hilang fungsinya. Gunakan bahagian tengah meja untuk mempamerkan hiasan dan pastikan bahagian setiap sisi dibiarkan kosong.
# Meja kopi dan meja sisi boleh dijadikan ruang penyimpanan tertutup kerana meja kopi berbentuk kotak berukir dari bahan kayu atau rotan boleh diisi dengan majalah terpakai dan barang lainnya. |
|
|
|
|
|
|
|
Cermin memukau pandang
Oleh Bennie Zie Fauzi
[email protected]
Ruang tampak lebih luas dilengkapi cermin besar.
Pantulan dan biasan tampilkan suasana lebih tenteram, unik
PERKEMBANGAN terkini hiasan dalaman menyaksikan keghairahan menonjolkan hiasan cermin merangkumi pelbagai bentuk, saiz, warna dan bingkai.
Penulis laman web http://ezinearticles.com, Jitesh Arora dalam artikelnya menyentuh keupayaan cermin dalam membangkitkan kesan menakjubkan, umpamanya cermin kecil yang disusun sepanjang dinding berupaya menampilkan kelainan suasana.
Petua menampilkan cermin
1. Berani bereksperimen dengan cermin.
Bagi yang ingin mencuba, mulakan dengan cermin kecil yang dipasang secara berkelompok. Kaedahnya, sama seperti anda mengumpulkan himpunan gambar berbingkai pada satu dinding.
Lilin di hadapan cermin membawa aura pesona.
Cermin besar yang digantung saling bertentangan memantulkan imej memukau pandang.
2. Awasi jarak ketinggian.
Cermin elok digantung setara paras mata. Kelemahannya, ukuran paras mata anda mungkin tidak sama dengan anggota keluarga lain menyebabkan cermin janggal dipandang.
3. Bermain dengan pantulan
Tiga perkara perlu dipertimbangkan bagi mendapatkan kesan pantulan.
# Tingkap - Sesuai untuk bilik satu tingkap atau tingkap kecil. Seindah impak yang dititipkan lampu hiasan, demikian halnya dengan pantulan cahaya luar yang mampu mengubah suasana bilik menjadi lebih bercahaya dan nampak lagi luas.
# Penggunaan cermin lain - bertujuan mendapatkan pantulan cahaya dari tingkap. Pertambahan cahaya membuatkan bilik bertukar cerah dan lapang.
Bahkan pantulan terus dari dua cermin saling bertentangan menghasilkan corak tak berpenghujung.
# Objek - cermin adalah medium sesuai menonjolkan rekaan dan corak perhiasan. Bagi mempelbagaikan kesan pencahayaan, tempatkan lilin di hadapan cermin berkenaan. Selain menghadirkan gaya unik, suasana tenang dan tenteram dapat diwujudkan.
Pilihan cermin kediaman
# Cermin di sinki. Makin kecil bilik air, kian besar ukuran cermin diperlukan.
# Cermin ukuran penuh yang digantung di bilik tidur menyenangkan anda berdandan.
# Tempatkan cermin berhampiran pintu utama untuk memeriksa penampilan sebelum keluar rumah. |
|
|
|
|
|
|
|
Elak kemalangan rumah
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)
Awasi anak ketika di dapur.
Pemilihan jenis lantai, susun atur perabot dan aksesori boleh hindari kecelakaan
KADAR kemalangan di rumah meningkat setiap tahun dan ada membabitkan kematian. Ini amat membimbangkan dan jika dibiarkan, jumlahnya sama seperti kemalangan jalan raya.
Persoalannya, adakah kemalangan yang berlaku di rumah ini disebabkan kecuaian manusia atau kelemahan reka bentuk? Jawapannya sukar ditentukan namun jika kerana kegagalan reka bentuk maka arkitek atau juru reka dalaman wajar bertanggungjawab.
Berbeza dengan negara maju yang memberi penekanan kepada reka bentuk selamat bangunan, kebanyakan kemalangan di negara ini disebabkan kecuaian manusia. Antara kemalangan utama di rumah adalah jatuh, kebakaran dan kejutan elektrik. Kemalangan begini berkait dengan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat soal keselamatan diri dan persekitaran di samping kurang penyelenggaraan selain kedudukan peralatan yang mengundang kecelakaan.
Keselamatan di kediaman
Kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa, maka penting bagi kita menitikberatkan keselamatan. Ia lebih penting kepada mereka yang mempunyai anak kecil dan aspek keselamatan seharusnya diberi keutamaan. Ini kerana, kanak-kanak tidak boleh membuat pertimbangan wajar dan tanpa pengawasan, kecelakaan boleh berlaku.
Pilihan lantai bilik air harus selamat dipijak.
Dalam aspek reka bentuk dan keperluan seni bina, beberapa peraturan seperti yang tercatat dalam undang-undang kecil bangunan perlu dipatuhi. Jika tidak, ini bermakna rumah kediaman berkenaan tidak layak memperoleh Sijil Layak Menduduki atau Certificate of Fitness(CF)
Keselamatan rumah kediaman boleh dibahagikan melalui ruang yang ada di dalamnya. Setiap ruang mempunyai peranan dan memerlukan perhatian reka bentuk demi jaminan keselamatan penggunanya.
Berikut disenaraikan beberapa panduan yang boleh dijadikan kaedah mengelak kediaman menjadi perangkap maut atau mengundang kecederaan kepada penghuni serta tetamu:
1. Ruang Dapur
Ketinggian dapur masak perlu tinggi daripada capaian anak kecil.
Ruang dapur amat penting kerana ia nadi kepada institusi kekeluargaan. Sebarang aktiviti di sini membabitkan penggunaan peralatan, tenaga elektrik selain banyak berlaku pergerakan di ruang ini. Justeru, beberapa syarat keselamatan perlu dipatuhi antaranya;
# Fikirkan reka bentuk dapur selamat ketika merancang pelan pembentukannya. Disebabkan kemalangan kerap berlaku di dapur, dinasihatkan sediakan ruang secukupnya untuk memasak. Ruang ini sepatutnya dekat dengan sinki supaya periuk panas mudah dipindahkan.
# Ruang penyimpanan tidak sepatutnya dirancang terlalu tinggi atau sangat rendah yang memungkinkan ia sukar digapai atau menyimpan barang.
# Lantai dapur dipastikan sentiasa bersih. Lap dengan segera jika tertumpah cecair. Lantai yang basah dan licin boleh menyebabkan mudah tergelincir lalu cedera. Kemasan lantai dicadangkan adalah daripada material tahan geseran bukan kemasan licin.
# Ketinggian permukaan kerja atau meja harus sesuai ukuran orang dewasa. Jangan terlalu rendah bagi mengelak kanak-kanak mencapai peralatan. Ketinggian sesuai penting bagi mengelakkan kita membongkok ketika bekerja.
# Pilih permukaan kerja jenis tahan hentakan dan suhu tinggi. Hindari rekaan berbucu yang menyebabkan kecederaan akibat terhantuk atau terlanggar.
2. Ruang tamu dan bilik tidur
Peletakan perhiasan dan peralatan penting dalam mengelakkan kecelakaan. Justeru;
# Pastikan permaidani di laluan dan hujung pintu tidak terkelepet pada bucunya bagi mengelak masalah kaki tersangkut lalu jatuh.
# Elak hamparan ambal di lantai licin. Lekat atau tampal pita penahan geseran di permukaan bawahnya supaya selamat.
# Susunan perabot harus mengambil kira laluan ke setiap ruang supaya tidak menghalang aliran pergerakan.
# Setiap ruang seharusnya menerima pengudaraan dan pencahayaan yang cukup agar dilihat segar.
# Jangan letak sebarang bahan mudah terbakar, misalnya, lilin berhampiran tirai dan langsir.
# Perbezaan ketinggian lantai ruang tamu harus dibuat secara teliti. Ini penting bagi mengelakkan kemalangan akibat kegagalan penghuni melihat perbezaan ketinggiannya. Cara menghindari kemalangan adalah dengan mengetengahkan kemasan lantai yang mudah dibezakan ketinggiannya.
# Pastikan reka bentuk perabot tidak berbucu tajam kerana ia mengundang bahaya kepada pengguna terutama kanak kanak. Pastikan juga tidak ada reka bentuk yang membolehkan kanak kanak memanjat, bahan mudah pecah yang mengundang kecederaan manakala binaan kolam tanpa penghadang punca kanak-kanak lemas. Mereka boleh lemas hanya dengan kedalaman air tiga sentimeter.
3. Bilik air
# Ini ruang paling berisiko kerana ia sentiasa lembap, licin di samping perkakasan keras yang mampu mencederakan tubuh.
# Pilih kemasan lantai tahan geseran untuk elak tergelincir. Pasang getah tahan gelincir agar lantai selamat dipijak.
# Pemasangan peralatan dan kelengkapan harus menggunakan ukuran betul iaitu mengikut saiz antropometrik manusia. Ini memudahkan dari segi menggunakan dan mencapai peralatan serta kelengkapan yang dipasang. Kemalangan terjadi apabila pengguna menghadapi kesukaran mencapai objek tinggi.
# Elak menggunakan peralatan elektrik bervoltan tinggi seperti radio, pengering rambut dan cerek pemanas air melainkan bervoltan rendah misalnya pencukur dan berus gigi elektrik.
# Pemasangan pemanas pancuran dibuat secara berhati-hati supaya tidak berlaku kebocoran. Jangan sesekali mendedahkan saluran atau punca tenaga elektrik di bilik air. |
|
|
|
|
|
|
| |
|