View: 1910|Reply: 0
|
Berfikir Islami - Dr Sidek Baba
[Copy link]
|
|
I'll copy n paste it here togrther with d link... http://www.utusan.com.my/utusan/ ... ma&pg=ba_02.htm
Berfikir Islami
Oleh DR. SIDEK BABA
BERFIKIR Islami berkait rapat dengan sumber-sumber dan nilai pemikiran seseorang. Manusia boleh berfikir apa saja kerana manusia tidak dibatasi untuk melihat, mengetahui, membaca, mendengar, menonton dan menatap apa saja dalam hidupnya.
Alam ini memberikan ruang yang amat luas untuk menyebabkan manusia berfikir dan kehidupan ini, gelagat manusia, peristiwa yang berlaku adalah medan berfikir yang amat terbuka untuk manusia mencetuskan pemikiran.
Berfikir dalam tradisi Islam tidak saja asal berfikir. Berfikir harus mengandungi maksud dan apabila maksud dihubungkan dengan sumber dan isi berfikir menjadi lebih bermakna. Berfikir dalam tradisi Islam membawa asas perimbangan.
Hal maaruf dan mungkar, khabar gembira dan peringatan, salah dan benar, berpahala dan berdosa adalah antara faktor yang membawa perimbangan supaya akhirnya natijah berfikir manusia menjadi baik dan menyumbang.
Berfikir Islami lazimnya disandarkan kepada faktor akidah, ibadat, akhlak dan adab serta syariah. Sandaran kepada akidah memberikan ikatan manusia dengan Allah. Asas akidah yang mantap tidak membimbing manusia berfikir mensyirikkan Allah atau meletakkan akal menjadi segala-gala sehingga faktor wahyu atau naqliah dianggap tidak relevan. Ia menyebabkan manusia menolak sumber hikmah yang amat penting bagi pedoman dan jalan.
Sandaran kepada ibadat ialah bagaimana proses berfikir menghasilkan sumber-sumber idea yang baik dan bermanfaat supaya perkembangan idea dalam kehidupan membawa faedah dan sifatnya maaruf ataupun baik. Idea dan maklumat yang baik akhirnya boleh menjadi ilmu yang berguna. Ilmu yang berguna apabila dijadikan amalan dalam hidup ia bersifat ibadat.
Sandaran kepada akhlak ialah memberikan asas nilai dan etika dalam berfikir. Berfikir yang lepas bebas atau melampaui batas boleh menyebabkan rosaknya hubungan manusia dengan Allah dan rosaknya hubungan manusia sesama manusia. Sesuatu yang lepas bebas dan melampaui batas bukanlah gambaran akhlak Islami.
Sandaran kepada syariah membawa maksud yang amat luas iaitu berfikir dalam kerangka batasan dan pedoman. Faktor syarak memberikan pedoman dan miqat atau batasan nilai kepada manusia. Ia tidak bermakna Islam melarang kebebasan berfikir.
Batasan nilai yang diberi memandu pemikir berfikir ke arah yang baik. Hasil pemikiran yang baik boleh ditampilkan menerusi tulisan dan karya yang akan dibaca oleh orang lain. Batasan syariah tidak bermakna, pemikir tidak memikir keburukan atau kejelikan sesuatu. Berfikir Islami membimbing manusia berfikir secara timbal-balik. Sesuatu idea yang dikembang adalah setelah mengalami proses timbal-balik berfikir dan akhirnya yang boleh membawa kebaikan kepada manusia ditampilkan kerana idea yang baik boleh membimbing manusia menjadi baik.
Para remaja perlu berfikir dan perlukan kemahiran berfikir. Tidak salah remaja berfikir kritikal, reflektif, analitikal, lateral, strategik, kreatif dan pelbagai lagi asal saja sumber dan sandarannya ialah kepada nilai-nilai baik dan bermanfaat. Kekaguman remaja kepada cara orang Barat berfikir jangan sampai menghilangkan asas berfikir Islami kita.
Orang Barat berfikir kerana berfikir adalah alat dan matlamat hidup mereka. Umat Islam juga dianjurkan oleh Allah berfikir tentang diri, tentang Pencipta, tentang persekitaran kejadian dan tanda-tanda kebesaran-Nya.
Orang Barat berfikir tentang benda hanya dalam batasan benda. Mereka berfikir tentang kejadian, fenomena dan peristiwa dalam batasannya. Orang Islam tidak saja berfikir tentang benda tetapi mengaitkan sesuatu benda dengan kejadian, penciptaan dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian.
Orang Islam tidak saja berfikir tentang kejadian, peristiwa dan fenomena tetapi orang Islam mengaitkan semua itu tidak hanya dalam batas biologikal, geologikal tetapi menghubungkannya dengan takdir, musibah dan mehnah supaya gambaran al- Quran tentang kisah dan ibrah menjadi sesuatu yang sentiasa hidup dan menjadi teladan dan peringatan bagi manusia terkemudian khususnya yang melampaui batas.
Tidak salah bagi remaja melihat faktor Barat dan Timur sebagai faktor berbanding untuk difikir, diteliti dan dipelajari. Banyak manfaat berbanding yang boleh didapati dari faktor kemajuan Barat dan Timur yang boleh mendorong remaja berfikir Islami. Pada asasnya yang berubah ialah bentuk atau mekanisme tetapi tidak pada isi atau substance. Kemajuan teknologi adalah perubahan pada bentuk.
Islam selamanya melihat teknologi sebagai alat bukannya matlamat. Sesuatu alat itu selari dengan fitrah manusia selagi alat tidak mendatangkan kerosakan dan kebinasaan kepada manusia. Komputer dan televisyen adalah alat. Ia boleh jadi berguna dan tidak berguna untuk membangun minda dan akhlak manusia. Sekiranya input, perisian, program yang terkandung dalam alat-alat tersebut mengandungi perkara-perkara baik, ia membawa kebaikan kepada manusia. Sebaliknya bahan-bahan yang disajikan adalah bahan-bahan yang tidak baik seperti menyuburkan kelucahan dalam berfikir, keganasan dalam bertindak, hilang etika dan adab, alat tidak lagi menyumbang ke arah pembangunan keinsanan.
Faktor keinsanan
Fitrah kejadian manusia tetap tidak berubah sejak zaman Nabi Adam hinggalah kini. Apabila ilmu tentang kemajuan alat menjadi matlamat utama manusia kepada hari ini, orang mula melupakan ilmu pembangunan insan. Apabila ilmu pembangunan insan tidak jadi keutamaan, orang melihat ukuran kemajuan benda adalah segala-gala. Berfikir Islami tidak menolak kepentingan benda kerana benda itu adalah kejadian Allah. Benda-benda yang diolah menjadi alat yang canggih adalah berguna sekiranya faktor keinsanan diambil kira. Tanpa faktor keinsanan manusia akan jadi haiwani dan nafsu-nafsi. Apabila ini berlaku, alat tidak lagi bermanafaat sebaliknya membawa musibah.
Berfikir Islami bagi remaja Islam memerlukan kefahaman yang baik tentang sumber-sumber dan nilai yang bersama dengannya. Apabila Islam menganjurkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran ia menjadi kerangka asas dalam pemikiran remaja. Sesuatu yang dibaca, ditonton, dilayari, ditatap dan disaksikan memang membawa remaja berfikir. Nilai maaruf dan mungkar boleh memandu remaja membezakan baik buruk sesuatu, mengenal manfaat dan musibat sesuatu dan mengambil teladan dari kisah, peristiwa dan musibah.
Darinya para remaja akan dipandu berfikir. Contohnya, apakah ukuran maju bagi orang-orang Islam yang mempunyai pemikiran Islam yang baik dan orang-orang Islam yang sedang dibelenggu oleh pemikiran Barat semata-mata. Pemikiran Islami memahami kemajuan dari sudut kualiti manusianya yang berakhlak, jujur, amanah, adil dan bijaksana.
Asas ini adalah asas fitrah dan diperlukan oleh semua manusia. Nilai-nilai yang baik itu disandarkan kepada sifat Allah yang Maha Adil dan Bijaksana. Apabila manusia Islam mengamalkan sifat amanah, adil, jujur, percakapan dan perbuatannya maka kesan amalan itu akan membawa keadilan kepada sekitar dan juga sistem. Inilah asas kemajuan yang dituntut oleh semua manusia.
Bila kemajuan ditentukan oleh kuasa dan ideologi, orang-orang Barat memahamkan kemajuan itu ialah menguasai sumber-sumber orang lain untuk dieksploitasi, menggunakan kekuatan teknologi persenjataan untuk melebar luaskan kuasa dan ideologi, melakukan kezaliman dan perosakan hak asasi mengikut cita rasa mereka. Akhirnya merosakkan nilai budi dan akhlak manusia lain dengan menyediakan alat-alat komunikasi dan telekomunikasi canggih bersama-sama dengan input, perisian dan program yang merosakkan minda serta gaya hidup remaja.
Inilah bentuk penjajahan baru yang amat merbahaya. Sekiranya remaja Islam tidak berhati-hati, ia bakal merosakkan pemikiran remaja. Akhirnya mereka akan dibelenggu dengan gaya hidup Barat yang merosakkan dan jangka panjangnya bakal merosakkan umat Islam sendiri. Oleh itu amat penting berfikir Islami menjadi asas penting remaja Islam supaya usaha pemanfaatan faedah berbanding dari orang lain tidak menghilangkan kerangka asas dalam jalan berfikir remaja.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak |
|
|
|
|
|
|
| |
|