View: 2168|Reply: 2
|
Ops Sikap ke-17 bermula di seluruh negara
[Copy link]
|
|
Ops Sikap ke-17 bermula di seluruh negara
Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM 23 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan Ops Sikap ke-17 secara serentak di seluruh negara dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan membendung kemalangan maut ketika sambutan perayaan Aidilfitri.
Operasi selama dua minggu yang bertemakan Pandu Berhemat, Semua Selamat akan bermula esok sehingga 8 Oktober ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Ops Sikap kali ini akan memberi penekanan secara 'penguatkuasaan kreatif' dengan menggunakan lima pendekatan yang dikenal pasti dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan.
Beliau berkata, tiga daripada pendekatan yang dimaksudkan ialah mengambil tindakan saman dan nasihat, memberi maklumat mengenai waktu puncak serta waktu selesa untuk pemanduan kepada orang ramai dan mempertingkatkan penguatkuasaan di sektor Ops Sikap yang ditetapkan.
Menurut beliau, dua lagi pendekatan ialah memfokuskan kawasan serta mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan kemalangan dan memaparkan papan tanda yang jelas.
''Strategi dan penguatkuasaan sepanjang Ops Sikap ini adalah berterusan dan dilakukan secara 'terang-terangan dan berselindung'.
''Bagaimanapun PDRM masih mengekalkan strategi yang diguna pakai sebelum ini iaitu melalui pemantauan bas secara penyamaran, membuat rondaan menyeluruh di kawasan paling kerap berlaku kemalangan dan pemantauan melalui 19 menara pemerhati polis serta di jalan-jalan Persekutuan dan juga lebuh raya," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Abdul Rahman Hussin.
Hadir sama Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Abdul Aziz Yusof; bekas Ketua Trafik Pasukan, Datuk Hamza Taib; Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Noor dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Datuk Adnan Rofiee.
Tambah Ismail, berdasarkan kajian terhadap pelaksanaan Ops Sikap sebelum ini, terdapat perkembangan yang positif apabila statistik kemalangan maut pada 2007 yang mencatatkan 203 kes menunjukkan penurunan sebanyak 10 kes berbanding tahun 2006 dengan 213 kes.
''Adalah menjadi harapan saya pada kempen Ops Sikap ke-17 ini, kehilangan nyawa akibat kemalangan maut akan dapat dikurangkan kerana adalah sesuatu yang mustahil untuk kita mencapai kemalangan sifar," katanya.
Sementara itu, Adnan dalam ucapannya meminta orang ramai agar memanfaatkan talian bebas tol Ops Sikap ke-17 iaitu 1800 88 2677 yang disumbangkan pihak TM.
Ujar beliau, melalui talian ini, para pengguna jalan raya boleh melaporkan kesesakan trafik, kemalangan jalan raya, meminta bantuan, mendapatkan laporan jalan raya dan pelbagai lagi.
''TM akan sentiasa bekerjasama dengan PDRM dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang juga melibatkan warga TM dengan catatan 135 kemalangan sejak 2005 hingga 2007," kata beliau.
Adnan memberitahu, pada tahun ini TM menyumbangkan sejumlah RM250,000 bagi menyokong kempen kemasyarakatan ini dengan menyediakan bahan-bahan publisiti merangkumi 7,000 poster, 100 banting, 50 kain rentang, 8,000 pelekat kereta, 30,000 pelekat motosikal dan 10,000 buku maklumat trafik PDRM.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: |
|
|
|
|
|
|
|
Pakai tali pinggang tempat duduk belakang
PEKAN 23 Sept. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menasihati pengguna jalan raya yang hendak pulang ke kampung berhari raya dengan menggunakan kenderaan persendirian supaya memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang.
Meskipun peraturan itu belum dikuatkuasakan sepenuhnya, langkah itu bertujuan memastikan keselamatan penumpang yang duduk di bahagian belakang kenderaan sentiasa terjamin ketika dalam perjalanan.
Selain itu, langkah tersebut bertujuan membiasakan diri sebelum peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya tahun depan.
Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man berkata, dalam pemantauannya di beberapa operasi yang dijalankan di seluruh negeri ini mendapati hampir semua penumpang belakang kenderaan yang diperiksa tidak memakai tali pinggang keselamatan.
''Saya rasa pengguna jalan raya masih tiada kesedaran terhadap bahaya yang mengundang tanpa pemakaian tali pinggang keselamatan belakang.
''Bagi kenderaan yang mempunyai tali pinggang keselamatan belakang itu, mereka dinasihatkan memakainya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Zakaria memberitahu, dalam setiap operasi yang dijalankan, pihaknya sering menasihati penumpang di tempat duduk belakang memakai tali pinggang keselamatan.
Selain itu, menurut beliau, pihaknya akan menggiatkan lagi operasi di seluruh negeri ini menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya membekukan cuti bagi hampir 200 kakitangan dan pegawai jabatan itu menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, jelas beliau, bilangan kenderaan di atas jalan raya di negeri ini akan bertambah sepanjang musim perayaan.
Bagaimanapun, jelas beliau, semua kakitangan dan pegawainya dibenar bercuti pada Hari Raya pertama dan kedua kerana ia adalah cuti umum.
''Kita akan bersama-sama membantu pihak berkuasa lain termasuk polis trafik mengawal keadaan lalu lintas sepanjang musim perayaan kali ini," katanya.
Dalam pada itu, Zakaria meminta semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dan bersabar terutama yang pulang ke kampung di saat-saat akhir sebelum hari raya.
''Biasanya akan berlaku kesesakan jalan raya di jalan-jalan negeri pada hari-hari terakhir sebelum Aidilfitri apabila kebanyakan warga kota pulang ke kampung masing-masing," katanya. |
|
|
|
|
|
|
| |
|