LONDON: Penyokong Hamas berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun jika kerajaan Britain berjaya mengharamkan kumpulan itu yang dianggap organisasi pengganas, kata Pejabat Dalam Negeri.
Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel, akan mendesak pertukaran pembentangan di Parlimen minggu depan, menggunakan alasan bahawa sukar membezakan antara sayap politik dan ketenteraan Hamas.
Sayap tentera Briged al-Qassam, gerakan Islam yang memerintah Semenanjung Gaza telah diharamkan di Britain sejak Mac 2001.
Namun, larangan secara terang-terangan di bawah Akta Keganasan 2000 itu menjadikan negara itu bersama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang mengharamkan organisasi itu.
Patel, yang kini dalam perjalanan ke Washington, berkata, langkah itu 'berdasarkan pelbagai risikan, maklumat dan juga kaitan dengan keganasan'.
"Tidak perlu dijelaskan lagi, sememang ia sudah jelas, katanya dan menggelar Hamas 'secara asasnya anti-Semitik'.
Patel menambah, larangan diperlukan untuk melindungi masyarakat Yahudi.
Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, memuji perkhabaran itu, menggelar Hamas 'sebuah kumpulan Islam radikal yang menyasarkan warga Israel yang tidak bersalah dan mahu memusnahkan Israel'.
"Saya mengalu-alukan hasrat United Kingdom (UK) untuk mengisytiharkan Hamas sebagai organisasi pengganas secara keseluruhan - kerana itulah sebenarnya," tulisnya di Twitter.
Menteri Luar, Yair Lapid menambah dalam satu kenyataan: "Tiada bahagian yang sah dalam organisasi pengganas, dan sebarang percubaan untuk membezakan... adalah tiruan."
Lapid berkata, langkah itu adalah hasil daripada 'usaha bersama' antara kerajaan British dan Israel.
Jika diluluskan, aktiviti mengibarkan bendera Hamas, mengatur pertemuan dengan ahlinya atau memakai pakaian menyokong kumpulan itu akan diharamkan.
Dari segi politik, ia boleh memaksa pembangkang utama Britain untuk mengambil pendirian terhadap Hamas, memandangkan sokongan kuat pro-Palestin di sebelah sayap kiri sangat kuat dari parti Buruh.
Awal bulan ini, seorang lelaki hadir ke mahkamah dengan memakai baju-T menyokong sayap tentera Hamas dan Jihad Islam Palestin, yang diharamkan di Britain pada 2005.
Pada satu acara bulan Jun, Feras Al Jayoosi, 34, memakai pakaian itu di kawasan Golders Green di utara London, yang mempunyai populasi Yahudi yang besar. - AFP