|
Cara Mudah Atasi Masalah Tahi Cicak Di Rumah, Guna Tiga Bahan Ini
KADANGKALA dalam mengemas kediaman, perkara yang paling jengkel ialah membersihkan najis cicak.
Boleh jadi rosak 'mood' bila lihat najis cicak bertaburan di bahagian tepi tingkap dan atas perabot berdekatan dengan dinding. Bukan sahaja menggelikan, tetapi ‘merosakkan’ dekorasi rumah.
Bagaimana caranya untuk menghadapi isu sisa cicak ini kerana kerja menyental najisnya bagaikan tiada kesudahan.
Justeru cara yang paling tuntas ialah dengan mengelakkan kehadiran haiwan itu di rumah. Petua dikongsikan pengguna Facebook Hani Mynis boleh korang diamalkan. Berikut perkongsiannya:
Biodata cicak
-Makanan cicak : binatang/serangga kecil seperti semut, nyamuk, lalat, kumbang, unggas, labah-labah kecil.
-Pemangsa cicak: burung
-Habitat cicak : Tempat yang hangat, belakang almari, belakang TV, sekitar peti ais, sekitar lampu, belakang bingkai gambar dan cermin.
- Kesukaan cicak ialah persekitaran yang kotor, tempat yang berbau hapak seperti timbunan kertas terutamanya timbunan surat khabar dan baju.
-Cicak tidak menyukai bau yang tengik seperti bau bawang merah, bawang putih, tembakau, cuka dan ubat gegat.
Berdasarkan profil cicak di atas, saya kongsikan senaraikan 10 cara nak elakkan cicak ‘berkampung’ di rumah.
1.Hilangkan bekalan makanan cicak iaitu kita uruskanmasalah nyamuk dan semut yang banyak di rumah. Gunakan racun semut (yang dijual sepaket RM1) dan hapuskan tempat pembiakan nyamuk. Bila bekalan makanannya tiada, secara automatik cicak akan berkurangan atau langsung tiada.
2. Cicak takut kepada burung. Justeru sediakan jejak burung seolah-olah ada burung kat rumah kita dengan cara seperti meletakkan beberapa kulit telur burung puyuh kat area tingkap atau mana-mana tempat cicak masuk.
3. Lekatkan bulu pelepah burung berhampiran tempat masuk cicak.
4. Disebabkan cicak suka ‘lepak’ di belakang almari, di sebalik bingkai cermin dan dinding, semasa nenyusun atur perabot jangan rapatkannya pada dinding. Pastikan ada jarak sekurang-kurangnya 10 sentimeter (cm) dari dinding.
5. Jaga kebersihan rumah, pastikan tong sampah bertutup.
6. Elakkan suka melonggok barang sama ada kain-kain, kertas dan kasut. Kitar semula surat khabar lama.
7. Letakkan beberapa ulas bawang putih atau hirisan bawang merah dalam kabinet. Tapi langkah ini perlu dilakukan berhati-hati. Tukar bawang selang tiga hari untuk mengelakkan ia membusuk.
8. Letak ubat gegat dalam kabinet atau laci. Namun laci atau kabinet menyimpan makanan tidak digalakkan diletakkan ubat gegat.
Selain itu, korang disarankan menyembur larutan ‘penghalau’ cicak ini, Cara membuatnya mudah, hanya menggunakan tiga bahan seperti berikut;
Bahan-bahan
1/3 cawan cuka makan
1/3 cawan air
1/3 cawan cecair pencuci pinggan
Langkah-langkah
Campurkan semua bahan ini dan kacau sebati. Masukkan ia ke dalam botol penyembur dan semburkan pada kawasan yang biasa menjadi lokasi tumpuan sisa cicak dan tempat persembunyiannya.
Ruang tepi tingkap, permukaan meja makan, kaunter kabinet adalah antara sudut yang sering menjadi sasaran cicak.
Semburan ini juga boleh digunakan untuk menghalau semut.
Dalam membersihkan tahi cicak pula, korang perlu memastikan kawasan yang terkena najis itu bersih daripada sebarang kesan yang ditinggalkan oleh najis tersebut.
Jika mop dengan menggunakan air sabun, maka ia perlulah dibilas dengan air mutlak sehingga kesan-kesan najis pada tempat berkenaan hilang.
Semoga bermanfaat.
Sumber:https://sinarplus.sinarharian.co ... mde_dt-DWS76N06NtCI
|
|