Gambar hiasan (Google)
Hanya kerana rasa cintanya pada haiwan dan mempunyai kira-kira 50 ekor anjing terbiar yang diselamatkan di rumahnya, remaja 17 tahun ini menjadi sasaran pembuli di sekolahnya.
Di Facebook, Animal Lovers Independant Rescuer (ALIR) memaklumkan Ed (nama samaran) adalah salah seorang sukarelawan penjaga haiwan cuba membunuh diri dengan menelan ubat jenis pil secara berlebihan dan meninggalkan sekeping nota bunuh diri.
Menurut ALIR, Ed yang dalam keadaan tidak sedarkan diri ditemui oleh abangnya. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal di wad kecemasan. Pasukan perubatan mengambil masa kira-kira 50 jam untuk menstabilkan keadaan Ed.
Sumber FB ALIR
Berdasarkan perkongsian ALIR, mangsa mula menyelamatkan haiwan terbiar sejak usianya 7 tahun. Apabila rakan sekolah mengetahui perkara itu, dia mula dipersendakan dan dicemuh.
"Dia diejek busuk, kotor dan diketawakan. Malahan, ada pelajar yang merampas bekal makanan yang dibawanya lalu dibuang ke tong sampah menyebabkan Ed terpaksa menahan lapar sepanjang sesi persekolahan berjalan.
"Ed pernah melaporkan perkara tersebut kepada guru. Bagaimanapun, guru berkenaan bukan hanya mengabaikan aduannya tetapi juga menyuruh mangsa menyelesaikan masalah itu sendiri," kata ALIR.
Ketika Ed masih di sekolah rendah, ibu bapanya membuat laporan polis, namun tiada sebarang tindakan yang diambil.
Mangsa kemudian berpindah sekolah, namun kejadian itu masih berulang. Ibu bapanya membawa isu berkenaan ke pihak sekolah bagaimanapun mereka kes itu tidak diambil serius.
Gambar hiasan (Google)
Kejadian tersebut berhenti seketika selepas ibu bapa mangsa bersemuka dengan pelajar yang selalu membuli Ed. Bagaimanapun, melangkah ke alam sekolah menengah, dia sekali lagi berhadapan situasi sama.
Enggan membebankan ibu bapanya, Ed menyimpan dan menelan segala layanan buruk yang diterimanya hingga menyebabkan dia tenggelam dalam kemurungan yang semakin lama semakin teruk.
Pihak hospital sudah membenarkan Ed pulang ke rumah, namun dia masih perlu menghadiri janji temu dan terapi.
|