Sepasang kekasih terjatuh ke dalam laut semasa cuba melakukan aksi ikonik dalam filem Titanic yang digelar ‘King of the World’ di sebuah dermaga di Turki, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Mangsa, Furkan Ciftci ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Dermaga Izmit Marina dalam wilayah Kocaeli sekitar pukul 9.15 malam (waktu tempatan), Ahad lalu.
Pasangan kekasih ini terjatuh ke dalam laut selepas cuba melakukan aksi seperti dalam filem Titanic. – Newsflash
Teman wanitanya, Mine Dinar bagaimanapun berjaya diselamatkan seorang pemancing yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Mine, dia dan teman lelakinya berada dalam keadaan mabuk ketika pergi memancing sebelum mendapat idea untuk meniru adegan filem Titanic.
Aksi ikonik Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet dalam filem Titanic. - Wallpaper Cave
Pasangan itu turut melintas rantai kunci keselamatan yang dipasang di bahagian tepi jeti untuk bergambar sebelum terjatuh ke dalam laut.
Seorang pemancing yang menyaksikan kejadian itu bergegas ke arah mereka bagi membantu sebelum Mine berjaya mencapai hujung joran dan ditarik ke tempat selamat.
Furkan bagaimanapun hilang di sebalik ombak sehingga memaksa perkhidmatan kecemasan dihubungi bagi mencari lelaki itu.
Operasi mencari melibatkan pasukan bomba dan unit penyelam sebelum mereka menemui mayat mangsa hampir dua jam kemudian.
Polis akan melakukan bedah siasat ke atas mayat Furkan, manakala insiden itu masih disiasat.
Sumber: Kosmo |